Aiman Hakim Bosan Sering dapat Watak Sama


Aiman lebih memilih naskah yang mencabar.

Pelakon Aiman Hakim memberitahu dia mula bosan apabila sering menerima tawaran watak-watak yang lebih kurang sama dan tidak mencabar lakonannya.

Aiman atau nama sebenarnya Aiman Hakim Ridza, 26, berkata, bagi tahun 2016 ini, dia akan lebih memilih naskah yang berbeza daripada apa yang sering dibawanya dalam setiap drama.

"Saya melihat tawaran yang datang semuanya watak yang hampir sama sahaja hingga membuatkan saya bosan, namun saya perlu lakukan kerana ia adalah pekerjaan dan sumber pendapatan saya.


"Namun tahun ini saya akan lebih memilih untuk melakonkan naskah yang berbeza sedikit, sekurang-kurangnya lari daripada watak yang sering saya bawa," ujarnya kepada mStar Online.

Aiman berkata, dia menanti sebuah skrip yang mencabar dan dapat menguji tahap lakonannya.

Sementara itu, Aiman berkata, dia juga masih belum yakin untuk terjun ke bidang lakonan filem berikutan pasraan filem yang tidak menentu.

Katanya, dia menerima filem Kimchi Untuk Awak yang bakal ditayangkan tidak lama lagi itu atas sebab tertentu.

"Sebenarnya saya belum bersedia untuk berlakon filem, banyak juga tawaran yang terpaksa saya tolak kerana saya lihat pasaran yang tidak berapa baik.

"Filem Kimchi Untuk Awak itu pun kerana dipujuk oleh pengarah Micheal Ang, itu merupakan filem pertama dia dan Astro pun berjanji untuk menjadikan filem sebuah filem yang bagus," ujarnya.

Previous Post Next Post