Pelakon Baru, Nadia Brian Gugup Berhadapan Erra Fazira


Pelakon baharu iaitu Nadia Brian terpaksa melakonkan beberapa kali adegan yang memerlukan dia memarahi aktres Erra Fazira dalam drama Rumi Jawi kerana gugup berhadapan wanita itu.

Nadia atau nama sebenarnya Najwa Mohamed Rashidi, 25, berkata, perkara tersebut disebabkan dia merupakan salah seorang peminat tegar pelakon tersebut sejak kecil lagi.

"Pertama kali jumpa Erra Fazira sahaja saya gementar dan hanya melihat wajahnya dari jauh sahaja dan ketika pengarah Fazli Yahya meminta saya berlakon babak memarahi dia, saya tidak boleh buat.

"Sehingga saya pula dimarahi pengarah kerana terpaksa mengulangi beberapa kali babak tersebut disebabkan tidak boleh mengeluarkan dialog," ujarnya kepada mStar Online.

Nadia berkata demikian ketika menceritakan pengalamannya sebagai artis baharu dalam industri hiburan tanah air.



Erra Fazira

Tambahnya, Erra kemudian datang menenangkannya dan meminta agar situasi itu sebagai lakonan semata-mata.

"Melihat kejadian itu, Erra kesihan dekat saya, dia menyuruh saya tidak terlalu gemuruh dan menganggap ia hanya lakonan sahaja, bukan betul-betul," ujarnya.

Sementara itu, dia bersyukur, biarpun masih baharu, dia sudah berpeluang bergandingan dengan pelakon-pelakon popular yang berpengalaman dan banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

"Alhamdulillah, sejak memasuki industri beberapa bulan lalu saya berpeluang bergandingan dengan pelakon-pelakon popular dan mereka tidak kedekut ilmu.

"Drama pertama saya dengan Puteri Balqis, Nabila Huda, Nazim Othman untuk cerita Akulah Balqis, manakala drama akan datang ini iaitu Rumi Jawi bersama Remy Ishak, Fathia Latiff, Beto Khusyairi, Juliana Evan, Erra Fazira dan Syarul Ridzwan mungkin ditayangan pada Mac ini di TV3," ujarnya.

Dalam pada itu, Nadia berkata, sebagai pendatang baharu dia juga sentiasa membuat kajian terlebih dahulu dalam setiap watak yang bakal dibawanya.

Dia banyak bertanya bukan sahaja kepada pengarah dan pelakon, malah semua yang terlibat dalam produksi itu.

"Saya takut sangat tidak dapat buat yang terbaik seperti dimahukan, jadi saya akan bertanya dan buat research dahulu. Saya akan minta pendapat semua termasuk kru produksi dan jurusolek," ujarnya.

Sementara itu, Nadia berkata, dia lebih selesa kerjaya lakonanya diuruskan sendiri oleh ibunya, berbanding syarikat pengurusan.

Dalam perkembangan lain, Nadia berkata, dia bakal beraksi di pentas teater berjudul Bikers Kental pada 23 Januari hingga 31 Januari ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Previous Post Next Post