LEBIH lima tahun, penyanyi berbakat besar, Nora Ariffin menyepikan diri dalam industri muzik tanah air. Ketika itu, fokusnya hanyalah kepada penerbitan siri animasi muzikal terbarunya, Ummi... Ceritalah Pada Kami (UCPK).
Mengakui rindu untuk menghiburkan peminatnya, Nora kini kembali menjayakan showcasenya, Nora Anugerah yang berlangsung di Theater Lounge Cafe, Plaza Damas, Sri Hartamas 3 pada 15, 16 dan 17 Januari lalu.
Hasilnya persembahan Nora atau nama sebenarnya, Wan Nora Afiza Ariffin cukup terpesona dan memukau!
Biarpun ia hanyalah satu persembahan mini dan dilakukan di sebuah lokasi kecil yang terhad, namun pastinya ia dapat mengubati kerinduan sebahagian peminatnya.
Lebih membanggakan, persembahan yang memakan masa selama dua jam itu tidak hanya mempamerkan kehebatan Nora mengalunkan lagu-lagunya secara akustik dengan diiringi tiga pemuzik tetapi juga menggunakan minus one dengan mengekalkan muzik asal.
Pada masa sama, showcase itu turut mengimbau kembali perjalanan seni Nora yang kini sudah pun memasuki suku abad.
“Malam ini, saya akan mengimbas kembali lagu-lagu popular saya.
“Jujurnya, saya suka persembahan sebegini. Ia lebih intim dan lebih rapat dengan peminat.
“Lepas ini, kita boleh selfie ya,” katanya.
Tirai persembahan dibuka dengan persembahan dari anak sulungnya, Mosyi menerusi lagu Bulan, tepat jam 9 malam.
Tidak mahu peminat menunggu lama, Nora membawakan lagu berentak rancak, Katakanlah sebelum kembali ke genre balada, Menyemai Cinta Bersama Mu, Kaulah Segalanya dan Naluri.
Pertukaran saat akhir
Difahamkan juga, pada malam ketiga persembahan, terdapat sedikit pertukaran lagu berikutan kehadiran ramai ahli keluarganya selain peminat setia serta rakan taulannya.
“Malam ini sangat istimewa dan bermakna! Ramai ahli keluarga saya hadir. Merekalah yang banyak menyokong usaha saya selama ini,” katanya.
Justeru, selain menyanyikan koleksi lagunya sendiri, Nora tidak lupa menyampaikan lagu kegemarannya yang menjadi pilihan peribadinya seperti Broken Vow, dendangan asal Lara Fabian, Akhirnya Kini Pasti (Anita Sarawak), Menghitung Hari (Melly Goeslaw), Fantasia Bulan Madu (Search) dan Seiring Sejalan (mendiang Broery Marantika dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini).
Hakikatnya, setiap lagu itu ada meninggalkan kenangan dan memori tersendiri dalam hidup penyanyi ini.
“Ketika mula-mula saya mahu menceburkan diri dalam bidang muzik, ibu dan bapa saya melarang sekeras-kerasnya.
“Tetapi, kerana degil, saya tetap menghantar ‘demo tape’ kepada Bintang RTM sehingga akhirnya saya berjaya untuk hadir uji bakat.
“Lagu Akhirnya Kini Pasti juga membawa kepada perkenalan saya dengan komposer dan kini adalah suami tercinta, Johan Nawawi,” katanya yang turut mengajak suaminya itu berduet bersama-sama ketika menyampaikan lagu tersebut.
Tidak hanya itu, anak kelahiran Kelantan ini juga masih berupaya menyampaikan lagu-lagu bernada tinggi dengan cukup cemerlang sekali meskipun sudah berusia 43 tahun.
Buktinya, sewaktu Nora menyampaikan lagu Hanya Satu, ciptaan sepenuhnya oleh Johan vokal ibu kepada empat cahaya mata ini tetap cemerlang seperti mana kali pertama tampil dengan lagu berkenaan pada 1998.
Bagi menampilkan kelainan dan memberikan santapan istimewa kepada peminat setianya, Nora turut beraksi bersama tiga anaknya dalam menyampaikan lagu ciptaan Azlan Abu Hassan, Selamanya Bahagia.
Lebih menakjubkan, Selamanya Bahagia turut diiktiraf sebagai Vokal Duo/Berkumpulan Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-21 (2014).
Anak warisi bakat
Ternyata, kehadiran Mosyi, Alif dan Putri membuatkan penonton yang hadir kagum dengan bakat yang dimiliki oleh ketiga-tiga anak Nora dan Johan itu. Mereka memiliki tona suara yang cukup indah didengar dan jarang didengar dalam pasaran muzik tempatan hari ini.
“Sebagai ibu, saya menyokong anak-anak menceburi dunia nyanyian.
“Namun, saya sering menasihati mereka tiada jalan pintas untuk berjaya.
“Jadi mereka perlu memulakan langkah dari bawah,” katanya.
Tidak lupa akan negeri kelahirannya, Nora turut membawakan lagu Joget Kelantan sekali gus menghangatkan suasana apabila penonton turut diajak untuk menyanyi bersama-sama.
Pada masa sama, Nora turut mengambil peluang untuk memperkenalkan lagu terbaharunya, Anugerah kepada peminat yang barangkali masih belum berkesempatan mendengarnya.
“Lagu ini merupakan karya tiga komposer muda iaitu Omar K, Audi Mok dan Ezra Kong.
“Insya-ALLAH, lagu ini akan menjadi titik permulaan kepada karier nyanyian saya pada tahun ini,” katanya.
Pastinya, tidak lengkap persembahan penyanyi ini seandainya tidak menyampaikan lagu Di Persimpangan Dilema, ciptaan Datuk Adnan Abu Hassan yang telah meledakkan namanya bukan hanya di Malaysia, tetapi juga Indonesia dan Brunei.
Sehingga ke hari ini, lagu itu masih kekal malar segar dan menjadi kegemaran ramai biarpun zaman silih berganti.
“Pejam celik, pejam celik, lagu ini sudah berusia 25 tahun dan masih lagi diminati sehingga ke hari ini.
“Lagu inilah yang telah membantu mempopularkan nama saya sehingga dikenali ramai,” katanya.