Dayana Roza atur langkah


NAMANYA mungkin tidak segah Zara Zya, Anzalna Nasir dan Fathia Latiff, namun, dia masih mempunyai aura tersendiri dalam industri ini. Mengakui perjalanan kariernya agak perlahan berbanding rakan seangkatan pelakon kelahiran program realiti Anak Wayang ini bagaimana pun tidak pernah patah semangat.

Sebaliknya nekad memperjuangkan namanya untuk terus dikenali meski pun kehadiran muka baharu tumbuh ibarat cendawan selepas hujan kini.

Kerana itu, empunya nama Nur Dayana Kamsun Baharin atau lebih dikenali sebagai Dayana Roza ini tidak pernah berasa terkilan melibatkan diri dalam bidang ini.

Mengimbas sejenak penglibatannya sebagai pelakon, karier Dayana sebenarnya bermula sejak 2009.

Tetapi nama pelakon Asam Pedas Untuk Dia ini agak suram dan tidak menyerlah meski pun menjadi teraju utama menerusi beberapa drama dan filem yang dibintanginya.

Enggan memikirkan kisah lalu, pelakon manis yang mempunyai iras wajah Scha Al-Yahya ini berharap 2016 menjadikan perjalanan kariernya lebih bersinar.

Sedang popular sebagai Qasya Azara dalam drama bersiri Aku Pilih Kamu yang disiarkan di Slot Samarinda TV3, kata Dayana, dia bersyukur kerana drama itu menjadi kayu pengukur kepada kerjayanya tahun ini.


"Alhamdulillah, Aku Pilih Kamu mendapat sambutan baik daripada peminat seni. Saya akui drama bersiri itu plotnya penuh dengan konflik dan emosi sehingga membuatkan orang kesian kepada saya apabila menontonnya.

"Jadi, ini ruang yang baik kepada saya untuk lebih dikenali selepas ini," katanya.

Dia juga berterima kasih kepada pihak penerbit dan pengarah kerana memberi kepercayaan kepadanya menjadi Qasya Azara.

"Saya gembira kerana mereka meletakkan harapan tinggi melihat saya menjadi teraju utama. Sebagai pelakon, saya memang sentiasa menantikan peluang sebegitu. Apabila peluang ini datang lagi, memang saya bersyukur sangat," katanya.

Ujar Dayana, dia tidak akan sesekali mensia-siakan kesempatan yang diberikan kepadanya menerusi drama bersiri itu.

"Sama ada baharu atau lama, tanggungjawab itu harus dilakukan sebaik mungkin. Sekali tersilap, orang akan ingat sampai bila-bila dan ini akan menjejaskan karier kita. Secara tidak langsung rezeki kita turut berkurangan," katanya.

Berkongsi menjadi Qasya Azara, akui Dayana, watak itu sememangnya memberi dimensi baharu kepadanya.

"Berbanding sebelum ini, peranan yang dimainkan saya memang agak santai dan biasa-biasa sahaja.

"Tetapi menjadi Qasya Azara sangat berbeza dan mencabar. Bukan sahaja terpaksa bermain dengan emosi, malah ia satu karakter yang cukup sukar direalisasikan kerana sering menangis, dihina dan dipermainkan insan sekelilingnya," katanya.

Tambahnya, kerana itu, setiap kali penggambaran dijalankan, dia perlu memastikan 'mood' dan penghayatan wataknya tepat serta dapat memuaskan hati pengarah," katanya.

"Saya tidak mahu menghampakan pengarah di set, jika itu berlaku, saya gagal melakukannya dengan baik," katanya.

Drama arahan Zulhuzaimy itu turut dijayakan oleh Hafidz Roshdi (Rizman), Fazreen Rafi (Adam), Ryzal Jaafar (Farouk), Elizad Sharifuddin (Nadiya), Sasqia (Isabel) dan Zila Bakarin (Datin Rosnaida).

Lancar produk

Selain fokus kepada karier sebagai pelakon, Dayana juga sedang sibuk menguruskan produk kesihatan sebagai perniagaan baharunya.

"Saya anggap cabang baharu ini sebagai tanggungjawab sampingan selain bergelar pelakon. Bukan tidak percaya dengan industri kini tetapi kita perlu bersedia untuk memastikan masa hadapan lebih stabil," katanya.

Jelas pelakon filem Zombi Kilang Biskut ini, dia sebenarnya sudah lama berhasrat untuk berniaga, namun belum bersedia ketika itu.

"Saya fikir sampai bila harus bergantung kepada lakonan semata-mata, jadi berniaga adalah sesuatu yang lebih mudah berbanding bidang lain yang hendak diceburi," katanya.

Di tebak mengenai kisah peribadinya pula, Dayana memberitahu, dia sememangnya sudah mempunyai 'orang baharu' dalam hidupnya kini.

"Apa pun, saya tidak mahu terlalu berkongsi kepada umum, biarlah cerita ini saya simpan sendiri. Jika ada berita baik, Insya-ALLAH saya akan khabarkan kepada semua," katanya.

Previous Post Next Post