Estranged bangkit setelah 4 tahun menyepi


EMPAT tahun menyepi bukanlah tanda Estranged telah terkubur malah, dalam tempoh itu sebenarnya mereka dalam persediaan melangkah ke fasa lebih matang.

Menyedari perpecahan anggota sebagai cabaran yang tidak pernah lekang daripada anak seni seperti mereka, Estranged masih utuh memperjuangkan muzik dan bakat.

Sekitar Ogos lalu, pergolakan berlaku di antara mereka menyebabkan salah seorang anggotanya, Azwin Andy Malik atau Andy mengundur diri.

Hanya berbaki tiga ahli iaitu Richael Gimbang Lawrence (Rich), Solihuddin Hormat (Din) dan Nor Hanafi Noor Hadi (Hanafi) yang masih kekal cekal meneruskan perjuangan Estranged.

Kemunculan Estranged kali ini tidak hanya dengan tangan kosong apabila mereka turut memperkenalkan album terbaharu, Sepenuhnya.

Bercerita mengenai album tersebut, Rich selaku vokalisnya mengakui penghasilan album kali ini juga dianggap sebagai penjenamaan semula kumpulan ini.

“Kami memilih tajuk tersebut sebagai bukti kami fokus dan usaha yang sepenuhnya terhadap pembikinan album ini. Kami anggap penghasilan album ini juga sebagai peluang yang besar untuk tampilkan semula apa yang kami mahu berikan buat peminat setelah sekian lama menyepi.

“Mungkin sebelum ini kami tidak memberikan sesuatu yang menyeluruh dan inilah masanya lakukan semaksimum mungkin,” katanya pada majlis pelancaran album Sepenuhnya, baru-baru ini.


Rich juga yakin pembaharuan dan kesegaran muzik yang dibawa dalam album kali ini mampu menarik minat pendengarnya.

Terdahulu, Estranged yang ditubuhkan sejak 1999 pernah muncul dengan album In Hating Memory (2004), Remain Unknown (2008) dan Anugerah Hidup (2013).

“Kami menyelitkan elemen muzik tradisional Kadazan dan Borneo seperti bunyian sape dan angklung yang diadunkan bersama genre moden rock ke dalam album ini.

“Estranged mahu mencuba sesuatu yang baharu sekali gus kami mahu mengangkat identiti muzik tanah air.

“Dari sudut melodinya pula, ia lebih kepada jiwa yang mana saya cuba hasilkan sesuatu yang mampu dirasai pendengar,” ujarnya.

Album Sepenuhnya menyelitkan sebanyak lima buah lagu antaranya Bangkit, Hancur Aku, Inginkan kau, Maaf dan SyD.

Pilih Fazura

Selain mengetengahkan muzik yang berlainan dan lebih segar, Estranged turut memiliki strategi yang tersendiri dalam melibatkan selebriti terkenal, Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura menerusi lagu duet bertajuk, Hancur Aku.

“Sebenarnya sebelum memilih Fazura, kami sudah ada perancangan untuk lakukan kolaborasi dengan penyanyi yang terkenal memandangkan ramai yang membuat permintaan supaya Estranged hasilkan lagu duet.

“Kami mahu lakukan kelainan dan sebenarnya ada beberapa nama yang kita senaraikan untuk lagu ini tapi pada akhirnya kami melihat potensi Fazura.

“Kami yakin Fazura boleh membawakan lagu ini dengan baik,” jelas Rich

Previous Post Next Post