Isteri keguguran, Black reda tiada rezeki


BLACK reda dengan ketentuan Ilahi dan tidak akan berputus asa untuk menambah zuriat bersama isteri tersayang, Cira.

KITA hanya mampu merancang, selebihnya Tuhan menentukan. Berpegang kepada prinsip tersebut, penyanyi popular, Black Hanifah, 28, reda dengan ketentuan Ilahi selepas isterinya, Cira Khairi mengalami keguguran baru-baru ini.

Walaupun hasrat pelantun lagu Mana Mungkin itu untuk memiliki anak kedua tidak kesampaian buat masa ini. Tragedi menyedihkan tersebut dianggap sebagai satu ujian daripada Yang Maha Esa kepada dirinya dan isteri tersayang.

Tidak mahu memperbesar-besarkan cerita keguguran ketika kehamilan isterinya berusia sekitar tiga bulan, Black menganggap takdir sudah tertulis buat dirinya dan akan terus memberikan sokongan moral yang kuat kepada Cira menghadapi hari mendatang seperti sedia kala


Artis Meletop!: Apa khabar Black? Takziah dia atas berita keguguran dialami Cira. Bagaimana keadaan isteri anda?

BLACK: Alhamdulillah, saya sihat. Cira sudah dibenarkan pulang ke rumah tapi keadaan dia masih lagi lemah dan dia perlu berpantang untuk kembali ke keadaan normal. Sebenarnya, saya tidak mahu bercerita terlalu banyak mengenai perkara tersebut kerana tidak mahu mengganggu keadaan emosinya.

Bagaimana keadaan emosi dia (isteri) sekarang memandangkan ini kali pertama dia mengalami keguguran selepas kelahiran anak pertama, Khaleef Dayyan?

Seperti yang saya katakan tadi. Dia masih lagi belum dapat menerima kenyataan tentang berita pahit tersebut. Bagaimanapun, sebagai suami, sudah menjadi tugas saya untuk menaikkan kembali semangatnya dengan memberi sokongan penuh supaya dia tidak terlalu memikirkan tentang keguguran yang dialaminya. Mungkin saya tidak merasai apa yang dia sedang dirasakannya, tetapi saya akan tetap berada di sampingnya sampai bila-bila.

Apa saranan atau nasihat doktor kepada Cira selepas mengalami keguguran?

Doktor menasihati saya supaya sentiasa berada di sampingnya kerana itulah pengubat yang paling kuat untuk dia meneruskan hidup dan tidak hilang semangat.

Selain itu, doktor menyarankan agar saya sentiasa memberikan kata-kata positif dan memberikan keutamaan terhadap kesihatan dirinya. Dia memerlukan rehat secukupnya dan untuk itu, saya akan perlahankan aktiviti seni buat seketika sehingga dia sembuh seperti sedia kala.

Sekadar bertanya, apa perasaan Black sendiri selepas mengetahui berita keguguran isteri?

Pasti ramai sedia maklum terutama rakan-rakan media bahawa saya sentiasa mengidamkan anak perempuan selepas kehadiran Dayyan dalam hidup kami sekeluarga. Memang sedih apabila ia tidak menjadi kenyataan. Bagaimanapun, saya melihat perkara ini sebagai satu ujian Allah kepada kami dan ujian diturunkan kerana Dia sayangkan kami. Sebagai orang Islam, saya percaya akan ada rezeki untuk saya sekeluarga pada masa depan. Insya-Allah.

Bagaimana pula harapan untuk terus berusaha mendapat anak selepas ini?

Doktor menyarankan kami untuk terus berusaha mendapat zuriat selepas Cira benar-benar sembuh (dalam tempoh setahun). Bagaimanapun, saya tidak akan terlalu mendesak. Saya tidak akan sesekali berbuat begitu kerana terlalu sayangkan dia dan saya mahu dia akan kembali bersemangat dan sentiasa hidup gembira.

Berbalik soal rencana seni, bagaimana anda ingin menstabilkan urusan tersebut memandangkan jadual seni yang begitu padat ditambah pula dengan ‘kehilangan’ yang baru kalian alami?

Saya percaya Allah akan tolong saya. Apa yang penting sekarang, Cira perlu berehat secukupnya dan saya akan mencuba sebaik mungkin untuk sentiasa berada di sampingnya. Insya-Allah. Saya juga memohon sentiasa dipermudahkan urusan dunia dan saya yakin doa daripada orang ramai sentiasa akan mengiringi setiap langkah saya bersama keluarga. Saya juga mendoakan yang terbaik buat kalian semua.

Previous Post Next Post