Baju Melayu KLCC - Mengakui terlalu mengkagumi KLCC, Mark membeli sepasang baju Melayu KLCC berwarna biru di Pasar Seni dan memakainya ketika pergi meminang isterinya, Nor Azah, pada 2003. Dia tidak malu untuk menceritakan pengalaman tersebut dan bangga kerana berbuat demikian.
Nama penyanyi bertubuh kecil dan berwajah polos, Mark Adam, 36, mungkin tidak sehangat nama artis lain yang sering dihambat kisah panas.
Tetapi penyanyi lelaki kelahiran Filipina itu semakin diberikan perhatian apabila menyertai sebuah program lawak muzikal, Juara Parodi yang bersiaran sejak November tahun lalu.
Selain memiliki suara yang merdu, rupa-rupanya Mark mempunyai kelebihan mampu membuatkan orang ketawa melalui percakapannya walaupun ianya terjadi secara tidak sengaja.
Bergandingan dengan pelawak Shuib Sepahtu, kehadiran penyanyi itu berjaya mengimbangi tuntutan program dan fokus peminat terhadap Slumber Blur saban minggu.
“Sebelum ini, saya memang tahu orang akan ketawa setiap kali saya membuka mulut, mungkin kerana pelat bahasa Melayua saya yang tebal. Tetapi tidak sangka ia satu bakat terpendam dalam diri.
“Selepas menyertai Juara Parodi, barulah saya belajar bagaimana hendak mengawal punchline dan membuat lawak dengan cara yang lebih tersusun.” katanya.
Cinta dan KLCC
Nilai humor semula jadi yang ada di dalam diri Mark semakin terserlah apabila menghadiri satu sesi temubual di sebuah stesen radio tempatan, Sinar FM sebagai tetamu jemputan dalam slot yang dikendalikan sebuah gruo pelawak popular, Sepahtu.
Asalnya, kemunculan Mark adalah untuk berkongsi tentang kepayahan perjalanan seninya yang bermula Filipina sehingga dibawa oleh syarikat rakaman ke Malaysia untuk mencari sesuap rezeki.
Namun, rakaman temubual itu menjadi viral kerana di dalam penceritaannya, Mark memberitahu bagaimana sikapnya setelah melihat bangunan kebanggaan rakyat Malaysia, Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang membuatkan dia menangis teresak-esak.
Mengulas kejadian itu, raut wajah Mark redup seketika. Mungkin terkenangkan peristiwa yang sudah hampir 16 tahun berlaku, namun cepat-cepat dia mengukir senyuman mesra.
“Benar, saya memang menangis melihat KLCC buat pertama kali kerana saya berasal daripada keluarga susah. Apabila berpeluang datang ke Malaysia, dapat pula melihat keindahan bangunan sehebat itu, hati mula menjadi sayu kerana terkenangkan keluarga di negara sendiri.
“Itu pertama kali saya berkongsi kisah peribadi dengan orang ramai. Tidak tahu pula ianya akan menarik perhatian dan mencuit hati hanya kerana saya menangis dua jam di depan KLCC,” katanya sambil tertawa kecil, langsung tidak mempamerkan riak wajah yang kelat.
Penyanyi mengabadikan nama Islamnya sebagai Mark Adam Fikri Abdullah itu langsung tidak kelihatan marah atau tersentuh apabila kisah hidupnya diketawakan dan menjadi bahan lawak rakyat oleh Malaysia.
Malahan, dia menerima situasi itu dengan hati terbuka sambil memberitahu, jika kisah sedih hidupnya menjadi sesuatu yang boleh menceriakan kemurungan orang lain, dia akan berasa sangat gembira.
Alasan pelantun lagu Pencuri itu, membuat orang lain berasa bahagia seolah-olah memberikan kelegaan kepadanya.
“Saya langsung tidak mengambil atau terasa hati dengan penerimaan peminat terhadap kisah lampau tersebut. Saya cuma hairan kenapa orang merasakan cerita berkenaan kelakar. Saya patut berterima kasih kepada Shuib kerana mengajak saya berkongsi cerita di radio.
“Dalam berseronok, saya harap kisah itu memberi inspirasi kepada semua agar tidak berputus asa mengejar impian hidup. Andai saya tahu ia menarik, pasti akan dikongsikan sejak dahulu lagi,” selorohnya sambil memegang erat tangan isteri, Norazah Redzuan ketika meluangkan sepetang waktu bersama Kosmo! baru-baru ini.
Jiwa balada
Selepas kejayaan lagu Marry Me dan Pencuri, Mark kini tampil dengan single terbaru bertajuk Berat yang menyaksikan perubahan genre muziknya berbanding gaya santai dalam lagu-lagunya sebelum ini.
Mungkin sedikit janggal melihat Mark bermain emosi di dalam lagu Berat sedangkan sebelum ini dia sering tampil bertemankan ukelele atau gitar dan ceria dalam setiap persembahan.
Mungkin ramai yang tidak tahu, kerjaya muzik Mark bermula dengan rentak balada ketika dia menyanyi di sebuah kelab malam di Labuan sekitar awal 2001.
Lantas Berat menjadi pelepas kerinduan Mark untuk kembali terhadap genre berkenaan kerana itulah belahan jiwanya yang sebenar. Akui Mark, biarpun dikenali menerusi lagu-lagu pop, santai dan ceria bagi mengikut permintaan pasaran, dia masih sempat menyelitkan lirik-lirik syahdu cerminan jiwa.
“Orang merasakan lagu Pencuri, Si Katak dan Marry Me berentak gembira tetapi andai diperhatikan liriknya, sebenarnya ia sebuah kisah sedih seorang jejaka yang cuba mencari cinta.
“Lirik-lirik berkenaan seolah-olah ada permulaan dan penutup. Ia bermula dengan luahan perasaan (Pencuri), waktu bercinta (Si Katak) dan proses lamaran (Marry Me). Lagu Berat pula ibarat penghujung kisah berkenaan,” jelasnya yang sedang menanti tempoh sesuai untuk melancarkan klip video rasmi single berkenaan.
Ditanya tentang identitinya sebagai pelawak dan pelakon pada masa sama yang mungkin akan mengelirukan peminat, perkara itu bukan suatu masalah buat Mark.
Bekas guru vokal itu menegaskan, setiap apa yang berlaku di dalam kariernya ialah perkembangan berharga dan membentuk jenama Mark Adam.
Semuanya memberi banyak perubahan positif, pengalaman manis serta proses pembelajaran yang bermakna bagi Mark, melebih segala harta di dunia ini.
“Saya terima setiap peluang datang sebagai rezeki dan mahu sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah.
“Ketika susah, saya mohon agar diberikan kesenangan. Jadi sekarang, saya tidak mahu merungut. Allah sudah membalas doa saya,” balasnya yakin.