KEHANGATAN program realiti Gegar Vaganza 2 (GV 2) masih lagi bertahan sehingga kini biarpun lebih sebulan menutup tirai pada pentas akhirnya Disember tahun lalu.
Ini dapat dibuktikan apabila Konsert Mega Gegar Vaganza yang menggabungkan musim pertama dan ke dua program itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Konsert yang dijalankan selama tiga hari di Istana Budaya bermula Jumaat lalu dilihat berjaya menarik dan menghiburkan pengikutnya.
Konsert yang mula membuka tirai pada jam 9.15 malam itu digamatkan dengan kehadiran penaja utama pengasas Pamoga Qu Puteh, Datuk Seri Dr Vida yang kini semakin menjadi tumpuan masyarakat di negara ini.
Lebih mencuri tumpuan apabila kelibat dua pengacara serasi Nabil Ahmad dan Jihan Muse muncul di pentas dengan mempersembahkan lagu Goyang Bali seperti kebiasaan di minggu- minggu konsert GV 2.
Konsert dimulakan dengan persembahan dari juara GV 2, Siti Nordiana dengan nyanyian Cinta Hanya Sandaran.
Persembahan pembukaan tersebut mendapat sorakan daripada penonton apabila penyanyi yang mesra disapa Nana itu memukau peminat dengan vokal yang mantap.
Konsert diteruskan dengan persembahan daripada Nizam Laksamana menyampaikan lagu Tiara sebelum pasangan duet Datuk Khadijah Ibrahim dan Nassier Wahab menyanyikan Doa Buat Kekasih.
Penonton terus dihiburkan dengan persembahan solo penyanyi Ezad Ladzim, Haiza, Farahdhia, Haleeda, Acong, Fazli Zainal, Amir Ukays, Ayai Ilusi dan Zul Handy Black dengan lagu Alasanmu, Segalanya Pasti, Bertakhta Di Hati, Pupus, Layu Di Hujung Mekar, Harapan, Zikir Kasih, Inang Bujang Dan Dara dan Ratuku.
Tidak hanya dipukau dengan persembahan solo, penonton turut dihiburkan dengan gandingan duet yang sememangnya mantap sekali gus memberi kepuasan buat peminat.
Antara penyanyi yang menyampaikan lagu duet adalah Nassier Wahab dan Fazli Zainal dengan lagu Beribu Sesalan, serta Amir Ukays dan Ayai Ilusi yang beradu vokal menerusi nyanyian Joget Angan Tak Sudah.
Sepanjang konsert berlangsung, barisan penyanyi yang terlibat seolah-olah tidak mahu mengalah membuktikan kehebatan masing-masing menjadikan persembahan pada malam itu cukup menghiburkan.
Bukan hanya kehebatan penyanyi, malah seleksi lagu yang dipersembahkan sepanjang konsert mampu mengembalikan memori lama penonton yang hadir.
Juara GV 2 sekali lagi tampil di pentas menyampaikan lagu Kerana Terluka dan Gurauan Berkasih nyanyian duet bersama Rahmad Mega sebelum konsert menutup tirainya.
Penonton tidak kering gusi
Selain persembahan mantap daripada barisan artis, elemen yang mencuit hati juga menjadikan konsert pada malam itu lebih hangat.
Seperti biasa, keletah Nabil dan Jihan adalah antara aksi-aksi yang ditunggu-tunggu penonton dan kemunculan mereka pada malam itu tidak mengecewakan.
Tambahan pula gaya bersahaja Datuk Seri Dr Vida melayani kerenah dua pengacara itu menjadikan penonton tidak kering gusi.
Lebih istimewa apabila konsert malam pertama itu juga turut dihadiri skuad bola sepak Kelantan The Red Warrior (TRW).