PELAKON Raja Farah yang berkahwin kali kedua pada September tahun lalu disahkan hamil dua bulan sebaik pulang mengerjakan umrah Disember lalu.
"Alhamdulilah kerana akhirnya keinginan untuk menjadi ibu dimakbulkan ALLAH.
"Saya hanya mengetahui diri saya hamil apabila membuat pemeriksaan pada 5 Januari lalu," katanya dipetik BHOnline.
Raja Farah yang mengakui teruja dengan berita kehamilan yang dinantinya itu berkata, dia tidak pernah merancang dan mengharap kerana bimbang akan kecewa.
"Pernah terdetik di hati apakah saya tidak mungkin mengandung tetapi berita ini melenyapkan semua perasaan sangsi itu.
"Bagaimanapun, sebelum melaluinya saya diuji dengan pelbagai dugaan namun Allah itu adil. Penantian panjang saya itu berakhir apabila disahkan hamil," ujarnya.
Sebelum ini Raja Farah pernah berkahwin dengan Megat Bashirun Qhuyum Zakaria pada tahun 2010 tetapi bercerai pada 25 Mei 2015 dan tidak dikurniakan cahaya mata.
Raja Farah kemudian bernikah dengan Iskandar Ismail pada 6 September lalu di Bukit Jelutong.