Zizan Razak enggan ulas mengenai gosip kononnya dia kini rapat dengan bekas isteri aktor Datuk Eizlan Yusof iaitu Vie Santier Harun.
Pelakon dan pelawak Zizan Razak enggan memberi sebarang komen berhubung gosip terbaharu yang mengaitkan dirinya dengan bekas isteri aktor Datuk Eizlan Yusof iaitu Vie Santie Harun.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 32, berkata, tiada sebarang keperluan dia mengulas perkara itu.
"Tiada apa yang saya perlu komen, minta maaf," katanya ringkas menerusi Whatsapp kepada mStar Online pada Ahad.
Terdahulu laporan ruangan gosip sebuah akhbar mingguan menyebut Zizan beberapa kali dilihat keluar bersama dengan wanita berkenaan dan mereka dikatakan mempunyai hubungan istimewa.
Eizlan dan Vie sah bercerai pada 16 Februari tahun lalu.
Dalam pada itu, ditanya tentang sejauh mana kebenaran gosip berkenaan, Zizan tetap dengan pendiriannya enggan mengulas mengenai perkara itu.
Eizlan dan Vie disahkan bercerai talak satu oleh Mahkamah Syariah Gombak Timur pada 16 Februari tahun lalu.
Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin memutuskan percerian itu selepas mendapati lafaz cerai yang diucapkan oleh pelakon itu terhadap isterinya pada 28 September 2014 adalah sah.
Dalam perkembangan lain, Zizan berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem terbaharunya berjudul Abang Long Fadil 2 terbitan Skop Productions.
Kata Zizan lagi, dia kini sedang sibuk menjalani latihan teater Bikers Kental yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 23 Januari hingga 31 Januari ini.
Selain Zizan, teater itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Awie, Nadia Brian dan Ameerul Affendi.