Zizie Izette: Jenna lengkapi saya


KELIBAT figura ini suatu ketika dahulu cukup mendapat tempat di hati ramai peminat. Bukan sahaja cantik, tetapi wanita yang kini berusia 37 tahun ini juga berbakat besar.

Bagaimanapun selepas mendirikan rumah tangga dengan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin pada Disember 2009, Zizie Ezette Abdul Samad mula memperlahankan karier seninya.

Biarpun tidak lagi aktif, namun kelibatnya dan segala perkembangannya melalui media sosial sering menjadi perhatian ramai.

Justeru, tatkala bertemu dengan anak kelahiran Selangor, baru-baru ini digunakan pihak media untuk bertanyakan perkembangannya.

Lebih-lebih lagi selepas Zizie kerap memuat naik gambar seorang bayi comel dengan hashtag NailaNurJenna di laman sosial Instagram miliknya.

Akui Zizie, dia sudah mengambil bayi berkenaan sejak enam bulan lalu dan Jenna baharu sahaja menyambut kelahiran pertamanya seminggu lalu.

“Alhamdulillah dah enam bulan bergelar ibu. Menjadi seorang ibu memang cukup bermakna pada saya.

“Memang seronok ada anak kerana rumah saya tak lagi sunyi. Sebelum ini di rumah, kalau suami tiada, saya tinggal bersama tiga pembantu rumah.

“Jadi dengan adanya Jenna baharulah meriah rumah dengan gelak ketawa dan kehadiran Jenna melengkapi saya,” ujarnya kepada Zass.


Selain sibuk sebagai isteri dan ibu, Zizie berkata, dia juga bakal melancarkan perniagaan tudung dengan jenama Ellizette miliknya tidak lama lagi.

“Sekarang saya memang sibuk dengan pelbagai tugas. Sebagai ibu, dan sebagai isteri dengan suami saya yang ada sedia maklum kini sedang mendapatkan rawatan di China.

“Kemudian perniagaan tudung saya yang akan mula dilancarkan , sebab itu siapa yang mengikuti saya di Instagram dapat lihat sekejap saya di sini, sekejap di sana. Tapi tak apa sebab ia menjadikan saya lebih produktif,” katanya.

Tambah Zizie, dia juga ada merancang untuk kembali aktif di dalam bidang seni, namun terpaksa menangguhkan hasratnya itu sehingga tiba masa yang sesuai.

“Sekarang ini keluarga jadi keutamaan, jadi bila ada masa yang sesuai Insya-ALLAH saya akan kembali aktif,” ujarnya.

Previous Post Next Post