Adel melangkah semula


WANITA ini pernah menjadi finalis dalam sebuah rancangan realiti televisyen pada tahun 2014. Bagaimanapun, rezeki tidak berpihak kepadanya. Sekadar selesa menduduki tempat kelima dalam pertandingan tersebut, dia akur dengan 'tiket' yang diberikan sebagai permulaan kepada kerjaya nyanyian.

Namun, apa yang terjadi berbeza seperti yang diharapkan. Sedar hakikat namanya semakin tenggelam dek kebanjiran ramai penyanyi baharu yang lahir dari rancangan realiti, Adel atau nama lengkapnya, Adeline Joyce Masidah lantas membawa diri pulang ke kampung halamannya di Sabah. Keputusan itu diambil selepas dia jarang mendapat tawaran menyanyi di ibu kota, tetapi mendapat jemputan nyanyian di Sabah.

Namun bagaikan durian runtuh buatnya apabila ditawarkan untuk menjadi antara barisan artis baharu di bawah naungan AMG. Tawaran yang datang nyata tidak dipersiakan buat gadis berusia 23 tahun itu. Sebaik sahaja kontrak bersama syarikat terdahulu tamat pada hujung tahun lalu, dia terus bersetuju untuk bersama AMG.

Biarpun kedua-duanya (syarikat dan Adel) masih setahun jagung, namun anak kelahiran Kota Kinabalu itu yakin cita-citanya bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi. Lebih daripada itu, dia juga yakin single terbaharu bersama AMG bakal menaikkan jenama baharu dirinya.

Terdiam sebentar saat diasak persoalan mengapa namanya tenggelam selepas keluar daripada Akademi Fantasia dan kini selepas setahun baru membuat kemunculan semula, Adel bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak. Wanita itu bertekad untuk membuka lembaran baharu dalam karier seninya.

“Memang diakui, saya terikat dengan kontrak selama setahun bersama syarikat lama, tetapi mereka banyak memberi fokus untuk menaikkan nama juara. Sebagai orang baharu dalam industri pula, saya rasa amat susah untuk menaikkan nama sendiri. Jadi, saya sengaja berdiam diri untuk tempoh setahun ini.

“Sejujurnya, memang tiada masalah antara saya dengan syarikat terdahulu, cuma aktiviti untuk saya memang kurang. Tetapi itu tidak mengapa, kerana saya faham syarikat itu mempunyai ramai artis untuk diuruskan,” ujar Adel ketika ditemui pada majlis pelancaran Angsana Music Group Sdn. Bhd. di Talent Lounge, Damansara Perdana, Petaling Jaya baru-baru ini.

Tambah Adel lagi, tiada istilah dipinggirkan mahupun kecil hati terhadap layanan yang diterima daripada syarikat rakaman tersebut. Sebaliknya, dia mengakui perkara itu memberi ruang buat dirinya mencari peluang membuat persembahan sendiri.

“Saya banyak membuat persembahan untuk majlis makan malam. Selain itu, terdapat juga beberapa undangan untuk saya membuat persembahan dalam majlis korporat. Sewaktu pulang ke kampung juga, saya mengikuti kelas tarian dan teknik bermain gitar sebagai persediaan untuk lebih serius dalam bidang seni pada masa hadapan,” katanya jujur.



FOKUS: Masih menetap di Kota Kinabalu, Sabah, Adel berhasrat pindah ke Kuala Lumpur agar karier seninya yang baru dimulakan semula berjalan lancar.

Single baharu

Mengulas mengenai penglibatan dirinya bersama syarikat AMG yang baru setahun bertapak, Adel menjelaskan, dia yakin syarikat tersebut boleh dikenali ramai biarpun merupakan syarikat baharu.

“Saya fikir mungkin namanya sahaja baharu, tetapi kita tahu penggerak utama yang menjalankan syarikat ini diterajui oleh mereka yang berpengalaman dalam industri hiburan tanah air.

“Saya juga yakin syarikat ini boleh dikenali seperti nama-nama syarikat lain. Itulah faktor utama saya menerima tawaran bernaung di bawah mereka,” jelasnya yakin.

Ditanya mengenai single terbaharunya pula, jelas terpancar rasa teruja pada wajahnya. Tanpa berselindung, dia memberitahu single terbaharu itu bakal siap pada penghujung Mac depan.

“Semua material untuk single tersebut sudah ada, tetapi kami masih membincangkan tentang konsep lagu tersebut. Jika diikutkan, saya lebih berminat untuk membawakan lagu balada seperti dalam persembahan saya semasa dalam rancangan realiti dahulu.

“Bagaimanapun, tiada masalah buat saya untuk mencuba konsep baharu seperti pop moden yang muziknya lebih segar untuk pendengar muda,” katanya yang berharap single tersebut bakal 'meletupkan' namanya.

Melanjutkan bicara mengenai kerjaya, Adel menambah, biarpun dia terikat dengan AMG, namun syarikat itu tidak menetapkan syarat sekiranya dia mempunyai jemputan untuk membuat persembahan di Kota Kinabalu.

“Saya selesa dengan cara pengurusan AMG yang tidak terlalu mengongkong artisnya. Mereka memberi peluang kepada saya membuat keputusan untuk menguruskan jemputan membuat persembahan sendiri ataupun diuruskan oleh AMG,” jelas Adel.

Bercerita mengenai perancangan lain yang telah diatur oleh AMG kepadanya, Adel berkata, syarikat itu sedang mencari masa untuk menganjurkan majlis makan malam bersama peminat yang pernah menyokongnya semasa menyertai pertandingan realiti tv dahulu.

Tambahnya, dia juga kini sedang merancang untuk berpindah ke Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan kerjaya.

“Buat masa ini, saya terpaksa berulang alik dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur untuk urusan kerja. Hal ini memberi kesukaran sedikit buat saya. Jadi, saya merancang untuk berpindah ke sini supaya lebih fokus dan mudah untuk mengatur masa,” ujarnya.

Adel yang ditanya tentang perancangan melebarkan sayap dalam dunia lakonan hanya tersenyum. Katanya, dia tidak akan menolak sekiranya diberi peluang, bagaimanapun untuk jangka masa terdekat ini dia mahu fokus dalam bidang nyanyian terlebih dahulu.

Diajak berbicara mengenai perancangan lain sekiranya dia tidak menjadi penyanyi, Adel menjawab, dia berhasrat untuk menjalankan sebuah perniagaan produk kecantikan.

“Selepas tamat sekolah, saya pernah bekerja sebagai perunding kecantikan selama enam bulan. Bermula dari situ, minat saya dalam dunia kecantikan semakin mendalam.

“Andai kata tidak menjadi penyanyi mungkin saya akan menjalankan perniagaan dengan menghasilkan produk kecantikan jenama sendiri,” katanya mengakhiri bicara.


BERGABUNG: Ketua Pegawai Eksekutif Angsana Group, Mohd. Radzuan Abd Karim (tiga dari kanan) bergambar bersama artis rakaman Angsana Music pada majlis pelancaran syarikat tersebut. Artis yang bernaung di bawah mereka ialah Adel, Nine dan kumpulan dari Indonesia, Nukaya.

Angsana Music

Sementara itu, selain Adel, dua lagi penyanyi telah dipilih untuk menjadi artis di bawah naungan AMG. Mereka ialah Nine yang pernah dikenali melalui kumpulan Phyne Ballerz dan kumpulan berasal dari Indonesia iaitu Nukaya.

Nine yang sebelum ini juga pernah bersama kumpulan duo Billy Zulkarnain, membawa taruhan single baharu berjudul Hilang Selamanya. Hadir sebagai penyanyi solo kali ini, Nine bagaimanapun berharap single terbaharunya berjaya mendapat tempat di hati peminat.

Bagi kumpulan Nukaya pula, lamaran AMG untuk memulakan kerjaya di negara orang terlebih dahulu berbanding negara sendiri merupakan perkara yang tidak disangka buat mereka.

Nukaya juga hadir dengan single pertama mereka bertajuk Sakit Hati. Belum dikenali di Indonesia, kumpulan yang dianggotai oleh lima jejaka ini berhasrat ingin berjaya di sini terlebih dahulu sebelum mengorak langkah di negara asal mereka.

Previous Post Next Post