Kurang berlakon, Mia Sara rancak bisnes


PULANG daripada mengerjakan ibadah umrah pada Disember lalu, pelakon cilik Mia Sara Nasuha membuat perubahan besar terhadap penampilan imejnya. Wajah comelnya kini dilitupi hijab dan keputusan tersebut dibuat atas pilihan sendiri.

Namun, populariti yang diraih sejak memasuki dunia seni seawal usia lima tahun tidak membuatkan Mia, 11, kebal daripada sebarang masalah. Dia mengakui kurang mendapat tawaran berlakon selepas berhijab.

Sempat bertemu usai majlis pelancaran produk makanan tambahan, Caliph Careals for Eyes keluaran syarikat Raffelina Sdn. Bhd. baru-baru ini, Mia atau nama lengkapnya, Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 11, bagaimanapun akur dan menerima situasi tersebut dengan tenang.

Apa yang penting, niatnya untuk berhijab kini tertunai.

Pengacara rancangan kanak-kanak Ceria All Stars itu percaya terhadap rezeki yang telah ditentukan buatnya.

Buktinya kini, dia terus diberi kepercayaan bertindak sebagai duta produk terbaharu keluaran Raffelina Sdn. Bhd. tersebut. Sebelum ini, Mia dilantik sebagai duta produk Caliph Sunnah Supplement for Kids keluaran syarikat yang sama.


Artis Meletop!: Boleh Mia ceritakan sedikit tentang penglibatan anda sebagai duta utama produk Caliph Cereals?

MIA SARA: Sebenarnya saya merupakan salah seorang pengguna jus minuman Caliph sejak tahun lepas. Saya juga dilantik menjadi duta produk tersebut sejak tahun lalu. Produk ini khas dikeluarkan sebagai suplemen tambahan bagi tumbesaran kanak-kanak seperti saya.

Berapa lamakah tempoh kontrak Mia bersama syarikat Raffelina?

Kontrak saya selaku duta akan berakhir pada hujung tahun ini. Insya-Allah, jika ada rezeki, pihak syarikat bakal menyambung kontrak tersebut.

Boleh anda jelaskan mengenai cerita kurang mendapat tawaran berlakon selepas berhijab sepenuhnya Disember lalu?

Bagi saya, rezeki akan sentiasa ada.Memang tidak dapat dinafikan tawaran berlakon agak kurang menyebelahi saya selepas saya berhijab dan pulang daripada mengerjakan ibadah umrah. Saya sudah membuat keputusan untuk tampil berhijab sepenuhnya kerana sudah lama impian itu tersimpan dalam hati. Sebenarnya saya sanggup menerima apa jua kemungkinan yang datang selepas membuat keputusan ini.

Bagaimanakah respons peminat sejak anda bertudung penuh?

Alhamdulillah ramai yang memuji dan menerima baik penampilan saya kini. Jika sebelum berhijab, ada segelintir kawan dan segelintir pengikut di laman Instagram yang mengutuk dan mengkritik saya secara sembarangan namun sekarang tidak lagi. Guru-guru di sekolah pun ramai yang memuji dan selesa dengan penampilan saya sekarang.

Dikhabarkan anda sudah mempunyai label perniagaan tudung sendiri iaitu M.S Couture, boleh kongsikan sedikit?

Ya. Alhamdulillah walaupun rezeki dalam lakonan agak berkurangan, namun saya bersyukur kerana diberi dan dimurahkan rezeki untuk menjalankan perniagaan tudung menerusi label saya sendiri iaitu M.S Couture secara atas talian.

Tahun depan anda akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), adakah anda sudah bersedia?

Ya betul. Saya akan menduduki UPSR tahun depan. Dari segi persiapan, ia baru sedikit tapi saya akan lebih memberikan fokus kepada pelajaran dan mengurangkan aktiviti harian sedia ada. Risau dan gementar pun terasa.

Previous Post Next Post