Erin Malek berehat panjang dari dunia lakonan


PADA usia 22 tahun, pelakon, Erin Malek sudah mampu mengukir senyuman dalam fasa kebahagiaan yang di jalaninya kini.

Ketika teman seusia masih lagi merasai kehidupan remaja, pemilik nama sebenar Nur Arina Abdul Malek akui tidak pernah menyesal dengan pilihan yang dibuat untuk bergelar isteri kepada suaminya, Farriz Fauzy.

Keceriaan rumah tangga mereka bagaimanapun lebih terserlah sejak pasangan ini dikurniakan cahaya mata pertama, Mohamed Faliq yang kini sudah mencecah usia empat bulan.

“Alhamdulillah, saya bahagia sekarang. Dalam usia semuda ini saya sudah memiliki seorang suami dan cahaya mata yang mampu membuat hidup saya lebih gembira.

“Sejak bergelar seorang ibu, perubahan yang saya rasa adalah kematangan dan kesabaran dalam menguruskan keluarga ini.

“Masa saya memang terhad kerana fokus utama adalah anak dan ia bukanlah sesuatu yang mudah. Saya percaya tidak ramai yang seusia saya dapat lakukan perkara sama.

“Saya akui pada awalnya saya hampir berputus asa kerana terlalu penat menguruskan rumah tangga tapi bila difikirkan semula, seharusnya saya perlu bersyukur kerana keluarga inilah kebahagiaan saya dan saya tidak pernah menyesal,” luahnya ketika ditemui pada majlis Gong Xi Raya bersama artis Paranormal, kelmarin.

Pada masa sama, Erin akui dia dan suami kurang percaya untuk menggunakan khidmat pembantu rumah bagi menguruskan putera kesayangan mereka.

“Sejak hari pertama Faliq dilahirkan, saya dan suami sahaja yang menjaganya biarpun ketika itu saya berada dalam tempoh berpantang.

“Lagipun saya berpantang di rumah sendiri dan hanya pada siang hari saya dibantu bidan dan jururawat manakala pada waktu malam, kami berdua yang menguruskan Faliq.

“Kami memang kurang percaya pada pembantu rumah tetapi kalau perlu pun, tugasnya terhad kepada penjagaan rumah yang lain tetapi bukan bab penjagaan anak. Sekarang ini, semua kerja rumah, kami lakukan bersama-sama tanpa bantuan sesiapa,” jelasnya.

Tambah Erin lagi, biarpun sudah diberikan beberapa tawaran lakonan, namun buat masa ini demi puteranya, dia masih belum bersedia untuk kembali aktif.


“Baru-baru ini, saya ada juga terlibat dengan beberapa sesi fotografi dan saya bawa Faliq bersama, tetapi saya tahu dia tidak selesa. Jadi buat masa ini saya belum bersedia untuk kembali aktif tambahan pula Faliq masih menyusu badan.

“Saya sendiri tidak tahu bila akan kembali aktif. Alhamdulillah, tawaran masih ada cuma saya tidak boleh beri komitmen sekarang.

“Kalau boleh untuk terlibat dengan mana-mana tawaran, saya mahu beri komitmen yang penuh dan tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak, jadi sekarang ini bukan masa sesuai,” katanya yang mengakui tidak mahu terlepas menyaksikan sendiri perkembangan anak pertamanya itu.

Redha dengan ketentuan

Pada masa sama, Erin sempat berkongsi pengalaman perit kehilangan anak kembarnya ketika usia kandungan mencecah usia 16 minggu pada pertengahan tahun lalu.

“Ia perkara sangat sukar buat saya. Sewaktu doktor mengesahkan perkara itu, saya dan suami benar-benar sedih.

“Saya sendiri tidak dapat gambarkan perasaan ketika itu tetapi akhirnya kami redha dengan ketentuan yang berlaku.

“Dalam kesedihan itu sebenarnya saya masih bersyukur kerana dapat terus mengandungkannya sehingga sembilan bulan walaupun tidak lagi bernyawa dan seorang lagi anak saya masih dalam keadaan selamat,” katanya tenang.

Beralih cerita mengenai imej terbaharunya, Erin berkata, hasrat untuk berhijab telah lama terdetik namun terpaksa menangguhkannya kerana bimbang dirinya belum bersedia.

“Alhamdulillah, kini hasrat ini tercapai dan saya sangat gembira apabila keluarga terutamanya suami menyokong.

“Saya tidak pernah anggap bertukar imej seperti ini akan menyekat rezeki sebagai pelakon dan kalau kita lihat sekarang pun peluang kepada kepada pelakon bertudung semakin terbuka, jadi saya tidak takut dengan itu,” ujarnya.

Previous Post Next Post