Atikah Suhaime tak mahu toleh ke belakang


Atikah banyak belajar untuk memperbaiki diri sepanjang berada dalam industri selama ini.

DALAM hidup ini tak semuanya indah. Ada masa, kita mengecap rasa bahagia, adakalanya juga kita diulit dengan dugaan. Bagaimanapun, apa yang kita lalui setiap hari itulah yang akan membentuk siapa kita pada hari ini.

Sebab itu, orang mengatakan pe­ngalaman lalu yang akan menjadi guru terbaik buat diri kita. Semua orang punya cerita perjalanan hidup tersendiri. Begitu juga dengan pelakon cantik yang sedang mencipta nama di persada seni hiburan tanah air, Atikah Suhaime.

Empat tahun lalu, pelakon berusia 25 tahun itu memberanikan diri membuat satu percaturan baharu dalam hidup. Dari Tampines, Singapura, Atikah melangkah masuk menguak pintu industri lakonan di Malaysia.

Pada awalnya, semuanya berjalan dengan baik. Kebanyakan berita mengenainya di media cetak dan elektronik boleh dikatakan hanya perihal kerja. Bagaimanapun, entah di mana silapnya, tatkala namanya menjadi rebutan, Atikah dilanda satu ujian besar yang tidak pernah terjangkau di fikirannya untuk berdepan dengan situasi tersebut.

Hati mana yang tenteram apabila secara tiba-tiba, pada tahun lalu, dirinya dikaitkan dengan dakwaan terlibat dengan kontroversi skandal video seks bersama rakan artis lain. Ketika itu, nama Atikah menjadi tumpuan industri. Dia menjadi buruan pihak media untuk mendapatkan kebenaran.

Impak kontroversi tersebut begitu besar terhadap nama dan kerjayanya. Sehinggakan dia terpaksa melalui fasa ‘rehat’ kira-kira enam bulan lamanya daripada pihak pe­nyiar televisyen tempatan.

Sejak itu, namanya agak senyap. Sehinggalah baru-baru ini, selepas isu tersebut selesai pada Disember lalu, namanya mula terbit kembali.

Banyak belajar

Biarpun bukan mudah untuk melupakan kisah pahit lalu, tetapi kehidupan perlu diteruskan. Semestinya, pe­ngalaman lama yang pernah terkait itulah yang menguatkan diri Atikah untuk terus menghadapi cabaran yang mendatang sehingga ke hari ini.

Biar kisah hidupnya sebagai anak seni pernah terpalit de­ngan cerita kurang enak didengari, itu bukan penghalang semangat buatnya untuk terus mengecap impian dan cita-cita yang sudah tersemat sekian lama.

Justeru, dia tidak mahu cerita lama diungkit kembali. Baginya, dia mahu terus ke hadapan. Perjalanannya masih jauh. Dia tidak mahu diulit dengan kisah lalu. Apa yang bakal dilalui pada masa akan datang itulah yang perlu menjadi fokus utama­nya. Sebab itu dia mahu terus memperbaiki diri.

“Ini merupakan tahun keempat saya berada dalam industri. Sepanjang tempoh itu juga saya banyak belajar, bahkan setiap hari kita sentiasa cuba belajar sesuatu yang baharu untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

“Apapun yang berlaku, dalam hidup ini kita sebenarnya kena banyak bersabar. Bahkan, kena sentiasa merendah diri. Itu yang saya nampak jika saya mahu terus kekal dalam industri,” katanya ketika ditemui sewaktu bertandang ke studio Utusan, Kuala Lumpur bagi memenuhi sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.


Keluar filem baharu

Menurut pelakon drama Bila Hati Berbicara itu, apa jua pekerjaan yang dilakukannya, paling penting perlu diiringi dengan rasa penuh ikhlas. Barangkali, itulah yang menjadi tunjang untuk dia terus berjuang tanpa kenal erti putus asa.

Mengakui agak kurang menerima tawaran berlakon selepas kontroversi itu melanda dirinya, tetapi Atikah mengambil kira situasi itu dari sudut positif. Dia percaya pada rezeki yang sudah ditentukan-Nya.

Terbaharu, selepas lama menyepi, dia muncul dalam filem terbaharu berjudul Kipidap! Selamatkan Hari Jadi yang sedang ditayangkan di pawagam sejak seminggu yang lalu.

Menariknya, kata Atikah, dia cukup teruja apabila pertama kali bergandingan de­ngan Rani Kulup yang merupakan individu yang terkenal dengan tagline Kipidap.

“Saya kenal Rani Kulup kerana terkenal dengan tagline Kipidap yang selalu orang ramai perkatakan. Bahkan, walaupun ini pertama kali kami berlakon dalam filem bersama, saya seronok. Gelagatnya ada kalanya mencuit hati,” kata Atikah yang memberitahu turut bergandingan dengan pelakon Hafreez Adam.

Semestinya, filem itu menjadi sebuah naskhah introduksi buatnya pada tahun ini khas buat peminat yang sudah lama menanti untuk melihat lakonannya. Sekarang jugalah menjadi momen pen­ting buatnya untuk mengatur semula perjalanan karier selepas beberapa lama tidak muncul di kaca televisyen.

“Insya-Allah, saya akan muncul dengan drama Terlarang Sudah Rinduku. Drama bersiri 20 episod itu diarahkan oleh Ismail Yakob yang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Kangsar, Perak dan Kuala Lumpur.

“Bahkan, ada juga beberapa lagi drama yang masih di peringkat perbincangan,” katanya yang bersyukur kerana sentiasa menerima sokongan daripada orang sekeliling untuk dia meneruskan cita-cita.

Previous Post Next Post