Allahyarham Neng Yatimah meninggal dunia pagi Sabtu.
Seniwati veteran, Neng Yatimah meninggal dunia pada kira-kira jam 10.30 pagi Sabtu, di Hospital Khoo Teck Phuat, Singapura pada usia 92 tahun kerana sakit tua.
Cucunya Mohd. Rezainudden, 40, berkata, Allahyarham dirawat di pusat perubatan berkenaan sejak Rabu lalu akibat beberapa penyakit termasuk kanser usus tahap serius yang dihadapinya sejak dua tahun lalu.
"Saya dimaklumkan mengenai berita kematian Nenek Neng oleh saudara kami di Singapura, Insya-Allah saya akan ke sana sebentar lagi.
"Saya difahamkan Allahyarham meninggal kerana sakit tua dan beberapa komplikasi penyakit yang dihadapinya," ujarnya kepada mStar Online.
Tambahnya, Allahyarham mula jatuh sakit selepas pulang menziarah perkebumian ayahnya Allahyarham Datuk Mustapha Maarof pada 15 Disember 2014 lalu.
"Keadaan kesihatan dia terjejas teruk sejak dia diserang strok ketika pulang ke Singapura pulang menziarahi pengebumian bapa saya pada tahun 2014," ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Rezainudden berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Bidadari (Pusara Abadi), Singapura.
Neng Yatimah atau nama sebenarnya Buntat Ahmad merupakan seorang seniwati filem Melayu tahun 1950-an dan 1960-an yang terkenal sebagai seorang pelakon air mata.
Filem-filem lakonan beliau antaranya Air Mata Duyung, Jiran Sekampung, Laila Majnun, Seri Mersing dan Rachun Dunia.
Pada tahun 2007, Allahyarham turut menerima anugerah Pelakon Veteran di Festival Filem Malaysia ke-13 (1997).
Anak Allahyarham iaitu Roseyatimah telah meninggal dunia akibat kanser payudara pada 1987 dan menantunya pula, Mustapha Maarof mengehembuskan nafas terakhir akibat jangkitan paru-paru pada 15 Disember 2014.