Keputusan Emma Maembong untuk membuka hijab dua bulan lalu ternyata tidak menjejaskan karier seninya, malah menjadikan dirinya semakin kuat sekembalinya dari Tanah Suci hujung Mac lepas usai menunaikan ibadah umrah.
Hampir dua bulan berlalu sejak pelakon jelita, Emma Maembong membuat keputusan untuk membuka hijab. Ironinya, kehidupan wanita itu tidak mengalami sebarang perubahan meskipun tindakannya mencetuskan kontroversi.
Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail Embong sebaliknya mengakui, tawaran lakonan masih diterima dan kerjaya seninya tidak terjejas walaupun selepas dia mengumumkan untuk tidak lagi mengenakan hijab.
Baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah telefilem terbitan TV3, Emma berkata, dia masih bekerja seperti biasa dan tidak mahu membesarkan lagi isu yang dianggap sudah selesai.
“Alhamdulillah, kerjaya seni saya setakat ini kekal berjalan dengan baik dan lancar. Apa sahaja kontroversi yang sudah berlaku, itu adalah hal peribadi dan tiada kaitan dengan karier saya sebagai pelakon.
“Memang sejak kebelakangan ini tawaran lakonan semakin banyak, namun saya hanya fokus satu projek pada satu masa. Bagi saya, kualiti lakonan meningkat dan masa saya lebih terurus apabila memilih cara begini,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahirnya di Collesium Event, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pengalaman umrah
Bercerita soal sambutan hari lahir yang menginjak ke usia 27 tahun, Emma mengucapkan rasa syukur apabila diberi peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci, Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah hujung bulan lalu.
Kata Emma, biarpun perasaannya bercampur baur sebelum berangkat ke Mekah namun, rasa tersebut hilang sebaik sahaja tiba di sana. Dia juga berasa teruja kerana sempat menyambut ulang tahun ke-27 yang jatuh pada tanggal 27 Mac lalu di depan Kaabah.
“Ramai yang mempertikaikan keputusan saya untuk menunaikan ibadah umrah pada usia muda, alasan yang diberikan adalah saya akan menyesal kerana insaf awal.
“Bagi saya, semua itu mengarut malah, beruntung jika pada usia muda kita sudah mempunyai kesempatan dan rezeki untuk ke rumah Allah. Segala urusan ibadah lebih mudah untuk dilakukan kerana masih gagah dan bertenaga,” katanya yang bersyukur kerana semua urusan umrah dipermudahkan oleh Allah.
Menerima panggilan untuk ke Tanah Suci selepas mengambil keputusan menanggalkan hijab, pelakon filem Kimchi Untuk Awak itu juga tidak menyesal dengan apa yang berlaku serta tidak rasa terbeban dengan perubahan yang diharapkan masyarakat sekembalinya dia dari Mekah.
Tambahnya, apa sahaja yang berlaku sebelum atau selepas keputusannya membuka hijab biarlah menjadi rahsia yang dihitung oleh Allah.
“Saya tidak membaca semua komen yang ditinggalkan oleh netizen dalam laman sosial kerana enggan membebankan diri sendiri dengan sesuatu yang saya tidak boleh kawal.
“Mungkin saya diberi ujian dengan keputusan membuka tudung, namun pada masa sama, rezeki saya dijemput ke rumah Allah tiba selepas dugaan tersebut,” tuturnya yang berhati-hati dalam menyusun kata.
Rahsia
Mencecah usia 27 tahun, wanita kelahiran Terengganu itu menolak dengan baik saat diajak berbicara soal peribadi biarpun kelibat teman tapi mesra, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman turut kelihatan pada majlis sambutan hari jadinya.
Emma dan Syed Abdullah didakwa menjalinkan hubungan istimewa selepas foto mesra mereka berdua tersebar beberapa hari sebelum pelakon itu membuat pengumuman untuk membuka hijab. Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang pengesahan daripada mereka berdua berkenaan status sebenar hubungan yang telah terjalin.
Kata Emma, buat masa sekarang dia hanya mahu menumpukan sepenuh perhatian pada kerja dan keluarga sahaja serta tiada masa untuk berfikir soal cinta.
“Sama seperti orang lain, saya mengharapkan perkara yang lebih baik dalam kehidupan seiring dengan peningkatan usia.
“Saya juga mahu menjadi individu yang lebih kuat dan mencipta kejayaan yang boleh dibanggakan oleh diri serta keluarga,” ulasnya sambil tersenyum.