Mengakui tidak dapat lari daripada masalah rumah tangga, Keith bagaimanapun berkata, cara untuk menanganinya adalah dengan menerima dan belajar daripada setiap dugaan yang datang.
Pelakon Keith Foo mengakui dia dan isterinya, Kim Raymond tidak mengambil pusing dengan gosip yang mendakwa perkahwinan mereka dilanda masalah sejak awal Mac lalu.
Biarpun mengakui setiap pasangan suami isteri akan melalui fasa pasang surut, kata Keith, 36, kehidupan mereka sangat bahagia.
Terdahulu, timbul desas-desus yang mendakwa perkahwinan pasangan yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2015 itu sedang bergolak dan mereka sudah tidak tinggal sebumbung.
Ikuti penjelasan daripada pelakon drama Ariana Rose itu ketika ditemui pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) baru-baru ini.
Boleh kongsikan perkembangan terkini anda memandangkan sudah lama tidak muncul di televisyen?
KEITH FOO: Sebenarnya sudah agak lama saya ambil masa berehat untuk memberi fokus terhadap anak. Sebelum kembali aktif bermula tahun lepas, saya berehat selama lebih kurang tiga tahun. Selain sibuk dengan keluarga, sebenarnya saya juga sedang mencuba bidang perniagaan produk jus. Selepas lama berehat, syukur peluang saya untuk berlakon masih ada. Saya baru selesai menjalani penggambaran sebuah drama, manakala beberapa buah telefilem akan ditayangkan tidak lama lagi. Selain itu, saya juga terlibat dalam sebuah program travelog Hola Spain bersama Keith Foo yang menjalani penggambaran di Sepanyol.
Tidakkah anda berasa tergugat dengan kehadiran wajah baharu dalam industri?
Jujur agak terkejut kerana begitu ramai pelakon baharu yang saya tidak kenal. Bagaimanapun, kebanjiran pendatang baharu adalah perkara yang positif sebab menandakan industri lakonan tempatan sedang berkembang.
Tidak perlu berasa tergugat, sebaliknya kita harus berbangga kerana industri sentiasa meriah dengan bakat baharu. Pada masa sama, saya tidak rasa persaingan kerana bukan semua pelakon senior mempunyai idea yang bagus. Adakalanya pelakon baharu juga banyak dengan idea bagus dan segar.
Beralih kepada perkembangan peribadi. Baru-baru ini timbul dakwaan mengatakan rumah tangga anda dan isteri bergolak. Boleh komen?
Bagi saya jika melibatkan soal peribadi, semua orang sama sahaja. Tidak kira suami isteri, kekasih atau kawan-kawan, semua orang akan lalui masalah. Cuma bagaimana caranya untuk kita hadapi masalah tersebut adalah cabaran sebenar dalam hidup.
Apakah status sebenar perkahwinan anda sekarang ini?
Jika berlaku sebarang masalah dalam rumah tangga kami, sudah tentu kalian (media) akan tahu bukan? Tetapi buat masa sekarang langsung tiada apa-apa. Jika ditanya soal sudah tidak tinggal sebumbung atau tidak, saya pun tidak pernah cakap apa-apa tentang perkara itu.
Maknanya anda masih berstatus suami orang?
Apa yang saya lalui sekarang adalah momen terbaik dalam hidup saya. Hubungan saya dan isteri sangat baik. Kami tidak bergaduh. Cuma sebagai bapa dan ibu, perkara paling penting adalah anak tunggal kami, Skylar Raymond Foo, 2. Dia adalah anugerah terindah yang hadir dalam hidup kami dan kini sedang membesar dengan ceria. Jadi, saya tidak kisah tentang tafsiran orang luar tafsirkan tentang kehidupan rumah tangga kami. Sedangkan kami sebenarnya sangat bahagia.
Apakah perasaan anda apabila isu berkaitan rumah tangga menjadi perhatian?
Sejujurnya kami okey sahaja kerana tidak ambil kisah pandangan orang. Saya tidak nafikan dalam kehidupan ini kita akan lalui banyak perkara sukar. Tetapi harungi dan belajarlah daripada masalah itu. Masalah antara suami isteri adalah lumrah. Apa yang perlu kita buat adalah untuk memahami situasi yang berlaku.