Pelakon Luqman Hafidz mengakui bimbang terpalit dengan sebarang kontroversi klip video atau gambar lucah yang kerap melanda artis tempatan masa kini.
Luqman atau nama sebenarnya, Muhd. Luqman Hafiz Mohd. Fauzi, 28, berkata, dia bagaimanapun percaya dirinya bersih daripada melakukan perbuatan tidak bermoral tersebut.
Tegas pelakon yang meledak menerusi filem dan teater Ola Bola dengan watak Ali itu, dia tidak pernah merakam atau berkongsi gambar mengaibkan dengan sesiapa selama ini.
"Saya takut kerana tidak mustahil dengan teknologi masa kini apa sahaja boleh terjadi.
"Namun, saya yakin bersih daripada melakukan perkara yang tidak baik dan pelik-pelik. Saya juga dikelilingi rakan yang baik," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Mind Order di Forest Valley Hall, Cheras baru-baru ini.
Isu berkaitan penyebaran rakaman dan klip video bogel semakin galak menghambat para selebriti lelaki masa kini termasuk golongan pendakwah selebriti.
Paling hangat diperkatakan adalah penyebaran video lucah melibatkan pelakon Syafiq Kyle ketika drama islamik Nur sedang bersiaran pada bulan Ramadan sekitar dua tahun lalu.
Terbaharu, foto lucah didakwa mirip pendakwah selebriti, PU Rizz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Ismail tersebar sejak minggu lalu sehingga memaksa bekas peserta Pencetus Ummah itu membuat laporan polis.
Luqman yang kini sedang menjalani penggambaran filem J-Retribusi, bersyukur namanya masih bebas daripada sebarang isu negatif.
"Saya berharap tidak akan terlibat dengan kontroversi tidak baik. Saya juga sering meminta nasihat daripada pihak pengurusan sekiranya berdepan masalah melibatkan kerjaya," katanya.