Aznil Nawawi Menyanyi bukan mahu bersaing




Selepas 12 tahun tidak memiliki single terbaharu, selebriti popular, Datuk Aznil Nawawi bakal muncul dengan lagu Apo yang mengetengahkan isu buli siber.

Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil bersyukur, single Apo bakal dilancarkan pada 10 Julai ini. Single Apo berkisarkan buli siber ciptaan Archie Nasution dan Reza Ramsay, manakala liriknya pula cetusan idea Pak Nil sendiri.

Ia diterbitkan atas inisiatif menerusi paksi tanggungjawab sosial Yayasan Pesona bersama Scifi Record dan Sony Music.

Istimewanya, single Apo yang sepatutnya dilancarkan sebelum tempoh PKP turut memuatkan lirik nama akaun Twitter, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di bawah nama Che Minah Sayang yang pernah digunakan Baginda sebelum ini.

Selebriti yang pernah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records bagi kategori Pengacara Paling Lama Berkhidmat itu sudah mendapat keizinan Raja Permaisuri Agong pada 4 Jun lalu.

"Saya ada menghantar mesej kepada Baginda dalam Instagram (IG) dan memaklumkan meletakkan nama akaun Twitter Baginda dalam lirik lagu ini. Saya mahu minta perkenan Baginda.

"Selepas mendapat balasan nombor untuk dihubungi, saya menelefon Baginda. Saya turut melakukan dengan cara protokol dengan menulis surat dan memohon perkenan Istana Negara.

"Alhamdulillah, Baginda secara peribadi mengizinkannya. Saya gementar sampai menggigil sebab nak bercakap dengan Baginda dalam telefon. Bayangkan, boleh tersasul sekejap bahasakan diri sebagai patik, sekejap saya," katanya kepada BH Online.

Tambah Pak Nil, dia berhasrat mahu mendapatkan rakaman suara Baginda di dalam lagu berkenaan.

"Kalau dapat perkenan guna rakaman suara Baginda untuk diselit dalam lagu ini, lagilah saya bertuah. Namun, saya tahu hal seperti ini bukan mudah kerana membabitkan banyak protokol.

"Andai dapat Baginda mencemar duli hadir melancarkan lagu Apo pada bulan depan lebih istimewa jadinya. Jika sebelum ini, dapat bercakap dengan Baginda menerusi telefon bimbit pun sudah rasa seperti kaki tak cecah tanah. Bayangkan, jika Baginda hadir pada hari pelancaran, rasa lutut pula lembik," katanya.

Pak Nil berkata, single Apo dihasilkan bukan untuk berentap dengan sesiapa, apatah lagi memasuki pertandingan.

"Saya tak anggap single Apo sebagai 'comeback' dalam dunia nyanyian. Saya bukan penyanyi serius. Saya penyanyi yang 'fun' dan santai. Lagu ini lahir lebih kepada tanggungjawab. Tambahan pula, isu buli siber terus bermaharajela dunia media sosial tiada kawalan.

"Warganet dan wira papan kekunci bebas melontarkan kata nista dan kecaman. Begitu juga seperti ejekan tubuh, rasis, mempersenda agama, politik dan macam hal lagi.

"Insya-Allah, saya juga berharap lagu ini membuka mata agensi berkaitan atau kementerian untuk menjalinkan kerjasama dalam usaha mengangkat isu buli siber," katanya yang mengambil masa lapan jam untuk menyiapkan lirik single Apo.

Previous Post Next Post