Awi Rafael melamar Sarah Fazny berduet




Peluang dan kepercayaan penyanyi dan komposer, Awi Rafael melamar Sarah Fazny berduet menerusi lagu patriotik, Ayuh Kita Merdeka membuka kisah lama yang sekian lama terpendam.

Ikutkan sebelum projek lagu duet berkenaan, Awi pernah berhasrat kolaborasi menerusi lagu balada bersama Sarah, tiga tahun lalu.

Sarah berkata, mungkin belum ada rezeki pada masa itu berkolaborasi dengan Awi.

"Nak dijadikan cerita peluang berkenaan tak menjadi kenyataan kerana saya perlu terbang ke Jakarta, Indonesia menyertai program D'Academy Asia musim keempat. Akibat kekangan masa, ia terhenti di situ.

"Saya merasakan lagu yang diberikan cukup besar. Rugi dan membazir sekiranya saya menyanyikannya. Saya berpendapat lebih baik diberikan kepada penyanyi lebih popular," katanya.

Penyanyi kelahiran program Mentor Legend pada 2015 itu berkata, kisah lama akhirnya menjadi kenyataan, tak lama lagi.

"Nampaknya, kisah risikan Awi dahulu menjadi kenyataan juga, biarpun sudah bertahun-tahun niat terpendam. Selain membuka peluang untuk berduet menerusi lagu Ayuh Kita Merdeka, Awi mahu bekerjasama untuk projek lagu single saya.

"Cuma, belum ada pengesahan lagi. Biarpun ambil masa dan berdepan kekangan, Awi masih sudi memberikan karya ciptaannya untuk saya," katanya.

Artis naungan Broadway NuMusic itu berkata, dia mengenali Awi ketika menyertai pertandingan Duo Star di Astro.

"Saya menyertai pertandingan Duo Star bersama Roni Hussein, manakala Awi pula bergandingan dengan Kaka Azraff.

"Tak sangka pula biarpun sudah lama tak berhubung, Awi masih ingat saya dan sudi bekerjasama.

"Awi juga seperti kebanyakan rakan lain yang percaya pada bakat saya, cuma belum rezeki menyerlah. Sebab itu, saya tidak fikir panjang apabila dapat peluang berduet dengannya," katanya yang kini dalam dunia pengacaraan menerusi program bual bicara santai, Girls Talk.

Previous Post Next Post