Gegar Vaganza musim ketujuh kembali dengan 14 peserta





PROGRAM realiti popular Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) membariskan 14 peserta berbanding 12 peserta dalam musim terdahulu.

Mereka adalah Mus MAY, Yantzen, Cliff Umar, Aju, Oja, Nomad, Noraniza Idris, Rozita Izlyn, Ayu Damit, Linda Nanuwil, Ashira, Haslinda serta dua kumpulan iaitu Eva dan Indigo.

GV7 akan bersiaran selama lapan minggu bermula 11 Oktober depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) setiap Ahad jam 9 malam.

Ayu Damit ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana akhirnya diberi peluang untuk menyertai program ini selepas enam kali percubaan.

"Alhamdulillah, selepas enam kali mencuba nasib menyertai GV dan sekali Gema Gegar Vaganza (GGV), tapi belum ada rezeki. Jadi, bila dapat peluang kali ini, saya bersyukur dan berharap semuanya dipermudahkan," katanya.

Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris berkata, dia bersetuju untuk menyertai GV7 di saat-saat akhir.

"Saya sudah dipujuk berkali-kali untuk menyertai GV dan kali ini, saya terima juga di saat akhir," katanya.

Sementara itu, Linda Nanuwil yang sebelum ini pernah menyertai Akademi Fantasia musim kedua berkata, ia umpama pembuka lembaran baru buat kerjayanya.

"Saya sudah buat kemunculan semula dalam industri muzik sejak 2018. Jadi, bila dapat peluang untuk sertai GV7, saya harap ini dapat jadi pintu rezeki buat saya," katanya.

GV7 masih mengekalkan format pemarkahan yang diadili 100 peratus juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim.

Ia juga masih mengekalkan Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai pengacara.

Previous Post Next Post