Penyanyi Luqman Faiz memuat naik tangkap layar mesej peribadi berunsur lucah yang dihantar seorang pengguna laman sosial di Instagram baru-baru ini.
Luqman ketika dihubungi berkata, dia sudah penat berhadapan situasi itu apabila sering menerima mesej sedemikian di laman sosial miliknya.
"Tujuan saya kongsikan mesej yang dihantar berkenaan supaya mereka takut untuk mengulanginya lagi.
"Kadang-kadang, saya rasa penat untuk melihat mesej lucah yang dihantar pemilik akaun palsu. Apa yang saya buat selalunya saya akan padam atau sekat akaun terbabit.
"Tak perlu buang masa menghantar mesej mengaibkan kepada saya kerana saya tidak akan melayan," katanya.
Terdahulu seorang pemilik akaun Instagram tidak berputus asa menggoda Luqman dengan memulakan perbualan lucah.
Menerusi teks terbabit, pemilik akaun yang menggunakan foto seorang wanita membuat permintaan tak bermoral kepada Luqman dan terus mengasaknya berkali-kali.
Menurut Luqman lagi, dia bagaimanapun berharap individu yang mempunyai niat jahat dan menggunakan akaun palsu supaya berhenti membuat kerja buruk itu.
"Apabila kerap menerima mesej seperti itu, ia boleh jadi satu gangguan. Saya tidak akan teragak-agak membuat laporan polis sekiranya perkara ini keterlaluan.
"Saya ingin mengingatkan kepada semua orang supaya menggunakan sosial media dengan perkara yang baik dan bermanfaat.
"Sebenarnya saya rasa pemilik akaun palsu ini adalah lelaki. Kalau kita tersilap langkah, mereka mula ugut. Ia boleh menjadi satu perangkap sekiranya tidak berhati-hati," katanya.