Kontroversi tak gugat kebahagiaan Neelofa, suami

Kecaman serta kontroversi yang melanda rumah tangga pelakon dan pengacara, Neelofa tidak menggoyahkan hubungan dengan suami juga pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz. 

Neelofa berkata, dia dan suami banyak berbincang mengenai jalan penyelesaian yang perlu dilakukan setiap kali berdepan masalah. 

"Alhamdulillah, baru saja beberapa minggu berkahwin, walaupun keadaan boleh dikatakan tegang, namun ia tidak memberi kesan kepada kebahagiaan kami. 

"Kami adalah satu pasukan dan selalu berbincang mengenai apa yang patut dan tidak dilakukan. Untuk bahagian itu, Alhamdulillah," katanya kepada Harian Metro. 

Ditanya mengenai isu yang mendakwa dia dan suami melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada majlis perkahwinan dan merentas negeri ke Langkawi baru-baru ini, Neelofa yang ditemui pada majlis pelancaran program Infaq Kasih Neelofa yang berlangsung semalam, enggan mengulas lanjut. 

"Saya tak nak komen banyak. Suami pesan, janganlah panjang-panjangkan. Dia pun tak ada dengan saya sebab bapa saudaranya meninggal dunia semalam (kemarin)," katanya. 

Menerusi program Infaq Kasih Neelofa, ia menjadi platform untuk memberi galakan kepada orang ramai untuk menderma dan melakukan infaq. 

"Genap setahun Pertubuhan Kasih Neelofa ditubuhkan, kali ini kami hadirkan beberapa variasi supaya orang ramai dapat memberi bantuan dan menderma," katanya. 

Previous Post Next Post