Ahmad Adly ditipu hidup-hidup

Biarpun berdepan pengalaman ditipu pemain industri muzik, namun ia tidak sesekali melunturkan semangat penyanyi baharu, Ahmad Adly, 21, mengejar cita-cita sebagai penyanyi.

Bekas peserta program Lagu Cinta Kita musim kedua itu menganggap apa yang berlaku disebabkan kecetekan ilmu ketika mula menceburi dunia nyanyian.

"Saya ditipu hidup-hidup. Bukan sahaja dari segi kepercayaan, malah wang ringgit juga terbang melayang.

"Dia menjanjikan bulan dan bintang, tetapi hanya cakap kosong. Kesudahannya, saya pula ditikam daripada belakang.

"Tidak mengapa, saya tidak berdendam, sebaliknya menjadikan pengalaman satu pembelajaran memandangkan masih dalam industri muzik.

"Sebagai manusia, saya memaafkan dan tidak mahu memperbesarkan isu ini. Namun, agak sukar juga mahu melupakan perbuatannya terhadap saya," katanya kepada BH Online.

Ahmad Adly berkata, individu berkenaan juga membuat onar dengan melakukan penipuan membabitkan beberapa artis lain.

"Apa yang berlaku tidak pernah membuatkan saya berputus asa. Diakui, wang yang dilaburkan hangus, tetapi saya percaya tidak menjejaskan impian yang dikejar selama ini.

"Bagaimanapun, hubungan saya dengan individu ini masih baik, cuma pengalaman mengajar untuk saya lebih berhati-hati dalam mempercayai orang," katanya.

Adly atau nama sebenarnya, Ahmad Adly Sofwan Ahmad Azli memulakan langkah sebagai penyanyi sejak 2017, namun single terbaharu berjudul Nota Hasratku dipertaruhkan tahun ini.

Istimewanya, single ciptaan komposer dan penyanyi muda berbakat, Yonnyboi menceritakan pengalamannya dalam industri muzik.

"Saya hanya mahu sampaikan secebis kisah jatuh dan bangun sebelum bergelar penyanyi. Daripada peristiwa ditipu disebabkan sifat naif tidak tahu selok belok dalam dunia nyanyian sehingga saya berusaha bangkit untuk melonjakkan nama sebagai penyanyi.

"Bagaimanapun, pendengar juga boleh mengaitkan single Nota Hasratku dengan situasi pandemik COVID-19. Kita tahu ramai yang berdepan dengan ujian hingga mengalami gangguan emosi.

"Semuanya disebabkan tekanan dihadapi tidak mampu dilalui lagi. Namun, di sebalik ujian pandemik, pasti ada sinar menanti.

"Percayalah kita tidak keseorangan, ramai akan menghulurkan bantuan. Jadi, jangan sesekali bersendirian dan carilah jalan keluar daripada kemelut hidup," katanya.

Dengan itu, Adly berharap, single Nota Hasratku boleh memberikan kata semangat kepada pendengar.

Single Nota Hasratku sudah dilancarkan di semua platform digital dan YouTube Indigital Music secara rasmi pada 6 Ogos lalu.

Ia adalah kerjasama Indigital Music dan Alternate. Karya berkenaan juga menjadi lagu runut bunyi drama Lelaki Pendosa yang bakal ditayangkan di TV3, tidak lama lagi.

Previous Post Next Post