Aisar Khaledd Ujian ini merubah hidup saya

Pempengaruh atau Instafamous Aisar Khaledd berterima kasih kepada pelawak Shuib kerana memaafkan kesilapan dilakukannya sebelum ini.

Ia berikutan tindakan Aisar yang membuat dan memuat naik kandungan kunjungannya melawat pusara Allahyarham Siti Sarah pada hari kematiannya, 9 Ogos lalu dan menjadikan bahan itu sebagai kandungan berbentuk peraduan.

Aisar yang mendapat kecaman warganet selepas itu membuat permohonan maaf secara terbuka sebanyak dua kali dan memadam kandungan terbabit.

"Terima kasih abang Shuib. Ujian seperti ini merubahkan hidup saya masya-Allah," tulisnya.

Aisar turut memuat naik audio kiriman Shuib yang dihantar pada 11 Ogos lalu.

"Tidak mengapa saya dari awal dapat tahu dan tengok video itu, saya sudah maafkan awak. Tiada gunanya saya nak sakit hati nak berdendam. Saya nak mudahkan urusan semua orang sebab saya juga minta Allah mudahkan urusan saya.

"Jadi saya tidak mahu berbuat salah juga tidak mahu menyusahkan orang lain. InsyaAllah awak orang hebat dan baik, terus buat kebaikan," katanya.

Shuib juga meniupkan kata-kata semangat buat Aisar iaitu tiada manusia di dunia ini yang sempurna malah dia (Shuib) sendiri ada kekurangan dan khilaf.

"Saya juga selalu berbuat salah dan dosa. Banyak dosa saya dengan Allah. Tapi mungkin apa yang kita boleh ambil pengajaran ini, janganlah kita membuat kesalahan sama atau pun kita tidak perasan kesalahan itu tidak sepatutnya kita buat.

"Saya doakan awak terus menjadi YouTuber yang hebat, baik dan bagus. Gunakan platform kita untuk sebarkan kebaikan. Jangan jadi orang yang terlalu seronok membuat kandungan sampaikan akhirnya nanti, apa yang kita buat itu akan makan diri kita sendiri.

"Insya-Allah kita kena ingat kematian cukup hampir dengan kita, cuma tidak tahu bila. Jadi semoga kebaikan yang kita buat di atas muka bumi ini menerusi platform yang Allah bagi untuk perkara baik untuk semua dan kita," katanya.

Pengakuan ini menerima respons positif dari pengikut serta rakan artis antaranya Sharif Zero.

Dalam balasannya, Aisar mengakui menangis apabila mendapat kiriman audio dari Shuib ini.

Previous Post Next Post