Azlee Khairi Sasar Jadi Pengarah



Pelakon lelaki yang sedang membina nama, Azlee Khairi memberitahu dia kini sedang mengatur langkah untuk menjadi pengarah filem. Jelas Azlee, dia kini berada di landasan yang betul untuk mengumpul ilmu pengarahan daripada orang-orang yang bekerja dengannya.

“Saya mahu perlahan-lahan mengatur langkah untuk menjadi pengarah filem pula. Setelah lebih kurang tiga tahun menggilap bakat sebagai pelakon, saya berada pada landasan betul untuk mengumpulkan ilmu pengarahan daripada orang-orang yang bekerja dengan saya. Tambahan pula, saya memang punya kelulusan akademik dalam jurusan tersebut”, kongsi pemilik Diploma Teknologi Kreatif Artistik dari UiTM Shah Alam itu.

Jelas Azlee lagi, dia mensasarkan untuk memegang gelaran pengarah pada umur 30 tahun. Ini bermakna dia punya tempoh masa lima tahun lagi untuk merencana perjalanan seninya.




Sabtu lalu, jejaka berusia 25 tahun itu mencipta kenangan manis apabila turun naik pentas bagi menerima trofi kemenangan dalam pelbagai kategori di majlis Anugerah Drama Fest Kuala Lumpur (DFKL) 2014 yang julung-julung kali diadakan.

Antara kategori yang diungguli Azlee dalam anugerah yang mengiktiraf penerbitan drama Melayu di TV3 dan TV9 sepanjang 2014 itu adalah Pelakon Lelaki Pilihan, Pasangan Hero & Heroin Pilihan (bersama Zara Zya untuk ‘Love You Mr. Arragont’) dan Barisan Pelakon Pilihan (berkongsi bersama barisan pelakon ‘Sebenarnya Saya Isteri Dia’).

Kemenangan Azlee semestinya hasil daripada kerja kerasnya dalam pelbagai siri drama yang dibintanginya. Siapa boleh lupa penangan Love You Mr. Arragont yang mencipta fenomena pada tahun lalu? Pada majlis tersebut, LYMA turut diiktiraf sebagai penerima anugerah kemuncak, iaitu Drama Pilihan.

Mengulas tentang kejayaannya itu, Azlee melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga untuk sokongan yang diberikan oleh peminat pada drama tersebut. Percaya pada rezeki, Azlee berkata penghargaan tersebut adalah hadiah daripada peminat untuk seluruh krew produksi LYMA.

“Saat mula-mula menerima skrip LYMA, saya sedikit gementar untuk menangani tanggungjawab sebagai seorang pelakon utama bagi drama adaptasi novel itu. Peminat-peminat novel ini mestilah ada jangkaan tersendiri, bukan sahaja kepada saya, tapi seluruh krew produksi. Alhamdulillah, kemenangan ini tanda adaptasi tersebut berjaya memikat hati mereka”, ujar Azlee.

Ingin Berumahtangga

Menyentuh hal peribadi, Azlee yang pernah digosipkan punya hubungan cinta dengan bekas seorang peserta program TV realiti berkongsi bahawa hubungan tersebut telah lama berakhir.

“Saya dan dia sudah tidak lagi bersama untuk satu tempoh masa. Itu tidak bermaksud saya kini menutup pintu hati untuk cinta. Saya berada dalam keadaan stabil kini, dan bersedia untuk menjalinkan hubungan dengan mana- mana wanita yang membuka hati saya. Malah, saya juga mula memasang impian untuk berumahtangga”, ujarnya Azlee mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post