Hafiz Suip Sudah Berteman, Belum Sedia Kahwin



Hafiz Suip mengakui yang kini dia sedang mengenali hati budi gadis yang pernah menemaninya ketika menghadiri program Maharaja Lawak Mega baru-baru ini. Menurut Hafiz, dia sudah mengenali gadis itu hampir 4 tahun.

“Saya akui memang saya sedang berkawan dengan gadis tersebut, namun saya enggan mengulas lanjut kerana dia merupakan perkara paling privasi dalam hidup saya. Kami masih lagi dalam proses mengenali antara satu sama lain. Saya enggan bercerita lanjut kerana saya tak mahu menganggu privasi dia dan keluarganya serta statusnya sebagai seorang pelajar,” ujar Hafiz ketika ditemui di majlis Doa kesyukuran sempena kejayaannya sepanjang 2013, bertempat di Hotel Hilton, Kuala Lumpur pada Rabu.




Pemuda berusia 24 tahun ini menjelaskan yang dia selesa berkawan rapat dengan gadis terbabit kerana dia memahami kerjaya Hafiz sebagai seorang penyanyi serta menghormati kedua ibu bapa Hafiz.



Bagaimanapun, Hafiz menafikan dia kini bersedia untuk berkahwin. Sebaliknya, ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjayanya. Lebih-lebih lagi temannya itu juga terikat dengan statusnya sebagai seorang pelajar.

“Buat masa ini kami belum ada apa-apa lagi dan saya meletakkan segalanya kepada jodoh.Kami juga mempunyai komitmen masing-masing. Mudah-mudahan hubungan kami sentiasa mendapat restu keluarga. Saya meletakkan sasaran untuk berkahwin sebelum berumur 30 tahun, namun buat masa ini saya belum bersedia untuk ke arah itu,” ujar Hafiz yang bakal tampil dengan single kedua yang berjudul 'Kesimpulan'.



Selain itu, Hafiz yang genap 24 tahun pada hari ini (27 Februari) turut meluahkan hasrat untuk melebarkan sayap dalam bidang seni dengan mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa. Hafiz berkongsi yang kini dia sedang mencuba menembusi pasaran Indonesia melalui lagu duetnya dengan Datuk Rossa.

“Saya ingin menjadi seperti Shila Amzah, Datuk Siti, Yuna dan ramai lagi yang berjaya membawa nama Malaysia ke mata dunia. Banyak lagi yang ingin saya kecapi dalam hidup ini, malah saya juga kini berjinak-jinak dalam bidang penulisan lirik. Saya belum begitu berkeyakinan tetapi sekadar ingin mencuba,” ujar Hafiz mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post