ABPBH 2013 Ditunda Bagi Hormati Tragedi MH370



Malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) yang bakal berlangsung pada 6 April depan akan ditunda bagi menghormati tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370. Pengumuman penangguhan acara berprestij tersebut telah berlangsung dalam satu sidang akhbar di Public Space, NSTP, sebentar tadi.

“Seluruh negara sudah sedia maklum dengan kejadian yang menimpa pesawat MH370. Justeru, sebagai menghormati ahli keluarga penumpang serta krew anak kapal, saya sebagai penaung bersama ahli jawatankuasa pengelola ABPBH 2013 sepakat mengambil keputusan untuk menangguhkan acara malam kemuncak ini.

Keputusan ini disokong sepenuhnya oleh pengurusan Media Prima, NSTP, TV3 selaku hos penyiar rasmi, Resorts World Genting selaku penaja lokasi malam anugerah, rakan-rakan penaja ABPBH 2013 serta rakan-rakan artis yang bakal terlibat pada malam anugerah itu nanti,” ujar Encik Mahfar Ali selaku Pengarang Kumpulan BH yang juga merangkap Penaung ABPBH 2013 menerusi kenyataannya ketika sidang media sebentar tadi.




“Keputusan ini turut diambil selaras dengan pengumuman oleh Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad baru-baru ini di mana semua rangkaian TV MPB merombak susunan program dengan menggugurkan rancangan berbentuk hiburan seterusnya memanjangkan laporan khas dan berita terkini, selain melebihkan pengisian agama serta ilmiah.”

Bertemakan Magis Alam, ABPBH 2013 bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highland pada 6 April 2014, iaitu kurang dari dua minggu lagi. Ditanya bilakah tarikh baru ABPBH 2013 serta adakah pihak penganjur akan mengubah lokasinya, ini jawapan Encik Mahfar.

“Jawatankuasa pengelola ABPBH 2013 masih lagi dalam usaha untuk mencari tarikh baru dan lokasi yang sesuai. Perkara ini akan kami umumkan kelak namun, mengenai lokasi, kemungkinan ia akan berlangsung di Kuala Lumpur itu ada, namun kena tengok dulu pada keadaan,” ujarnya lagi.

Di kesempatan ini juga, kami ingin merakamkan ucapan doa dan takziah untuk ahli keluarga penumpang dan krew penerbangan MH370. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan bagi menghadapi dugaan yang berat ini.”

Turut hadir di sidang akhbar sebentar tadi ialah Encik Ahmad Izham Omar, Puan Hanizam Abdullah selaku Pengarang Bersekutu BH2 dan Hiburan BH, merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2013 serta Encik Shamshul Azree Shamshir (Pengarang HIP BH juga merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2013).

Sidang akhbar tersebut turut dihadiri oleh selebriti antaranya Fara Fauzana dan Amy Mastura selaku hos malam anugerah, Yana Samsudin, Aaron Aziz, Johan As’ari, Sabhi Saddi, Dazrin Kamaruddin, Nomad, Ayu Damit dan ramai lagi.
Previous Post Next Post