Nazim Othman pilih genre K-Pop



Pelakon Nushrul Alif Othman atau Nazim Othman, 29, kini berdebar kini berdebar untuk secara rasminya melangkah dalam bidang nyanyian selepas me­nyiapkan single berentak rancak, Destinasi.

Mana tidaknya, Nazim sememangnya sudah dikenali dalam kalangan peminat seorang yang sangat meminati muzik K-Pop dan sedikit sebanyak turut mempengaruhi genre lagu pertaruhan sulungnya itu.


Baginya, memandang­kan ramai peminatnya terdiri daripada kalangan muda remaja yang semestinya juga berkongsi cita rasa muzik sebegitu, ada sebab dia tampil mengambil risiko berkenaan.

Malahan, dia sudah pun memikirkan secara terperinci daripada segi penerimaan di mana pada saat ini dia hanya perlu berpanda­ngan optimis dengan keputusannya itu.




NAZIM pernah menjadi pramugara MAS.


“Risau memang risau kerana tahulah pengikut muzik tempatan kita masih lagi berjiwa lebih kepada lagu mendayu atau balada. Lantas, lagu rancak sebegitu berkemungkinan bukan menjadi pilihan sangat buat mereka.


“Bagaimanapun, saya suka untuk mencuba sesuatu yang lebih berisiko lagipun untuk lagu Desti­nasi, sasaran pendengar saya memang daripada kalangan muda remaja.

“Saya pun tidak mahu yakin sangat penerimaan­nya bakal menjadi luar biasa kelak tapi yang penting saya cukup berpuas-hati dengan hasil titik peluh sendiri itu,” katanya.

Makin rancak memberi isyarat mengenai lagu berkenaan dengan memuat turun sedutan muzik video­nya di akaun laman sosialnya termasuklah di Instagram, apapun pelancaran single itu belum ditentukan bila.

Padahal, sudah agak lama juga dia menguar-uarkan mengenai berita gembira itu, namun menurutnya dia tidak mahu tergesa-gesa kerana mahu menunggu masa sesuai.

“Kalau ikutkan hati saya memang mahu membuat pelancaran secepat mungkin, tapi bukannya senang kerana selain masa tidak sesuai, pengurusan untuk acara itu nanti perlu dibuat sebaiknya.

“Dengan insiden yang macam-macam berlaku pula sekarang ini, saya tidak sampai hati mahu melakukan­nya dalam masa terdekat,” katanya.


Tragedi MH370 sentuh hati

Sementara itu Nazim turut tersentuh dengan tragedi MH370.

Nazim turut terkesan memandangkan tidak lama dulu dia juga pernah berkhidmat sebagai pramugara syarikat sama.

Dapat merasakan bagaimana penderitaan terutama buat ahli keluarga 239 individu yang berada dalam pesawat itu, bagaimanapun baginya selagi MH370 belum ditemui dia sendiri tidak mahu berhenti harap.

“Saya bukannya menolak takdir namun kita tidak boleh mudah mengalah dan biarlah bukti yang betul-betul sahih ditemui, barulah percaya apa sebenarnya berlaku.

“Memang sangat pahit untuk ditelan, tapi kita kena terus percaya dengan usaha tidak henti kerajaan dalam misi pencarian itu. Saya pun memang terkesan dan buat keluarga yang terbabit, semoga mereka terus tabah menerima ketentuan itu,” kata anak jati Johor Bahru, Johor itu.
Previous Post Next Post