Penjenamaan Semula RTM



MULA diperkenalkan pada 1921, Radio Televisyen Malaysia (RTM), masih berdiri gah sebagai salah satu stesen televisyen yang mempunyai kelompok penonton yang tersendiri.

Walaupun terpaksa bersaing dengan beberapa stesen lain tidak kurang hebatnya, namun RTM masih menjadi pilihan.

Malah, dari segi pengisian juga, RTM tidak terlalu ketinggalan kebelakangan apabila ada di antara rancangan berjaya mendapat rating tertinggi.

Masih ingatkan anda dengan rancangan popular satu ketika dahulu seperti Mini Parlimen Kanak-Kanak, Salam Pantai Timur dan Hiburan Minggu Ini (HMI)?

Setiap daripadanya memiliki kelompok peminat yang tersendiri sehinggakan RTM sukar untuk membiarkan rancangan ini hilang ditelan zaman.

Malah, rancangan-rancangan berkenaan turut menjadi pilihan sebagai bahan hiburan yang mendapat sentuhan penjenamaan semula (rebranding).




Bersesuaian dengan peredaran zaman, walaupun ia masih mengekalkan konsep yang asal, namun beberapa sentuhan kreatif dilakukan supaya rancangan ini terus diterima segenap lapisan masyarakat.

Bukan sahaja menampilkan muka-muka baharu, malah penjenamaan semula itu turut mengetengahkan idea-idea yang lebih segar.

Ini menunjukkan bahawa RTM bukanlah sekadar stesen televisyen 'tangkap muat' semata-mata tanpa mementingkan selera dan pilihan penonton.


Kurangkan kapasiti peserta

Mula diperkenalkan pada Mac tahun ini, rancangan untuk kanak-kanak, Mini Parlimen 2014, menyaksikan pelbagai reaksi dan gelagat golongan cilik di parlimen.

Menurut penerbit bersama, Syukur Ishak, walaupun rancangan ini pernah dihasilkan pada satu ketika dahulu, namun kali ini pastinya ia lebih berbeza dari sebelumnya.

Kata Syukur, bukan sahaja dari segi kupasan idea, malah kapasiti peserta juga dikurangkan pada edisi kali ini.

"Kalau dulu, lebih daripada 100 kanak-kanak yang dibawa masuk ke set ini untuk menghidupkan suasana parlimen mereka.

Malah, setiap tahun hanya satu episod sahaja yang dihasilkan.

"Namun, pada tahun ini, kami hanya memilih 35 parlimen sahaja dan membolehkan mereka semua dapat berbahas dan mengutarakan pendapat masing-masing.

Setiap minggu mereka akan berbahas. "Antara tajuk yang menjadi kupasan pula terdiri daripada isu-isu semasa dan fokus tertentu seperti dilema kanak-kanak bekerja dan sebagainya," kata Syukur lagi.

Walaupun baharu sahaja diperkenalkan dengan imej yang berbeza pada tahun ini, namun akui Syukur, dia berpuas hati dengan penerimaan penonton terhadap rancangan ini.

"Alhamdulillah, saya mendapat banyak maklum balas mengenai program ini dan ianya mungkin akan diteruskan sekiranya mendapat sambutan hebat daripada penonton," katanya lagi.

Penyanyi, pelawak kongsi pentas

Sebagai hiburan di hujung minggu, HMI tidak terkecuali dalam senarai rancangan yang mempunyai pengikut setia.

Walaupun rancangan ini mula diperkenalkan sejak era 80 an lagi, namun sehingga kini masih ramai yang menantikan rancangan hiburan ini di kaca televisyen.

Menurut penerbit rancangan, Nor Kuzaimah Abdul Aziz, walaupun masih mengekalkan konsep yang sama, namun maklum balas yang diterima sangat menggalakkan.

"Untuk musim pertama kali ini, kami menerima maklum balas yang baik daripada penonton walaupun program ini menampilkan kelainan dari segi pengisian.

"Bukan sahaja pentas untuk penyanyi, malah untuk menggamatkan suasana, kami turut menjemput beberapa pelawak terkenal untuk menghiburkan penonton.

"Ini menunjukkan bahawa HMI bukan sahaja gelanggang untuk penyanyi, malah selebriti lain turut dijemput untuk menjadikan suasana lebih variasi," katanya.

Tambah Kuzaimah, melihat kepada penerimaan untuk musim pertama, kemungkinan besar, HMI untuk musim kedua akan diperkenalkan tidak lama lagi.

"Jika satu ketika dahulu, HMI terkenal dengan penyanyi-penyanyi di era berkenaan, kini kita sedia mengikut peredaran semasa dan memberi peluang kepada artis baharu dan ternama untuk beraksi.

"Sebagai contoh, selain daripada penyanyi tersohor, Misha Omar, Alyah dan Tomok, kami juga turut menjemput artis-artis kelahiran Youtube untuk beraksi.

"Malah, kami juga merancang untuk menjemput kumpulan terkenal, Slam untuk turut berada di pentas HMI. Namun, buat masa sekarang, kami menghentikan dulu HMI untuk memberi penghormatan kepada kehilangan MH370," katanya lagi.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) Online Streaming Boleh Di Tonton Disini:

RTM TV1: http://buletinmalaysiatv.blogspot.com/2013/06/rtm-tv1.html

RTM TV2: http://buletinmalaysiatv.blogspot.com/2013/06/rtm-tv2.html

RTM TVI: http://buletinmalaysiatv.blogspot.com/2013/06/rtm-tvi.html

RTM MUZIK AKTIF: http://buletinmalaysiatv.blogspot.com/2013/06/rtm-muzik-aktif.html
Previous Post Next Post