Emma Maembong Tunggu keputusan ayah


Emma Maembong

ENTAH disengajakan atau tidak kebelakangan ini seakan-akan kerap kontroversi tergalas di bahu pelakon Emma Maembong.

Meski bukan satu perkara baru hal itu agak ketara memandangkan satu persatu muncul tanpa sempat Emma menarik nafas lega.

Belum reda kontroversi bercumbu mesra dengan Zizan Raja Lawak di dalam kapal terbang, timbul pula cerita lain bersekedudukan dengan teman lelakinya itu.

Sudah terlanjur melangkah ke dunia hiburan, mahu atau tidak, Emma perlu menggagahkan diri untuk menjawab segala hal yang mengusutkan fikirannya itu.




Sehabis daya Emma memberikan jawapan yang terbaik demi menjelaskan keadaan sebenar dan menepis segala anasir jahat yang cuba menjatuhkan imej dan kariernya dengan gosip sedemikian.

Pujian wajar diberikan kepada gadis berusia 22 tahun ini kerana masih bertahan pada saat dirinya sering menjadi bahan serangan banyak pihak yang cuba menguji sejauh mana kentalnya jiwa seorang anak seni.

Emma, sekali pun tidak berundur malah terus melawan arus dengan menjadi diri sendiri biarpun ada sesetengah pihak kurang senang dengan segala penjelasan mengenai kontroversi yang menghentam dirinya.

“Saya cuma mahu terus berjalan dan hidup. Tak perlu pandang lagi perkara-perkara lepas apatah lagi tiada satu pun daripada cerita itu yang sahih. Nama pun gosip," kata Emma ringkas.

Kontroversi

Memilih untuk tidak terlalu memikirkan kontroversi itu kata Emma, dia tidak punya kuasa untuk menahan segelintir masyarakat daripada terus berkata-kata mengenai peribadinya sedangkan mereka tidak tahu tentang kebenarannya.

“Menjadi pelakon dan artis, ini jalan yang saya pilih maka saya kena terima dengan terbuka apabila satu masa datangnya perkara-perkara tak diingini seperti ini kepada saya.

“Kalau diikutkan bukan jadi artis saja, jadi orang biasa pun akan ada orang suka bercerita buruk mengenai kita, akan ada orang yang suka menyampai cerita tak betul mengenai kita. Pendek kata, di mana-mana saja boleh berlaku hal seperti ini.

“Cuma bayarannya bergandalah apabila bergelar seorang artis. Orang akan pandang keburukan kita lebih. Kita bercerita hal sebenar pun orang tetap tidak akan percaya. Jadi nak buat macam mana lagi? Tak payah layan," katanya.

Mengaku tidak sekali pun melatah dengan kontroversi yang timbul kata Emma, lebih baik dia bersikap demikian daripada membiarkan diri terbakar dengan api kemarahan yang kemudian hanya merugikan dirinya sendiri.

“Tak perlu marah-marah, tak perlu bising-bising. Saya lebih suka menangani hal-hal gosip seperti ini dengan tenang. Bagi saya sekurang-kurangnya itu tidak mengusutkan fikiran saya.

“Sebelum jadi artis lagi saya sudah biasa terkena perkara seperti ini. Bukan nak kata saya dah tak hairan tapi saya lebih suka tanganinya dengan cara yang matang.

“Asalkan keluarga tahu siapa saya dan tahu hal sebenar, saya tak perlu takut untuk berdepan dengan masyarakat. Ayah dan mak kenal saya. Saya pun memang tinggal dengan mereka, untuk apa saya nak takut? Saya memang tak buat salah.

“Namun saya tak akan berdiam diri jika gosip yang menyentuh hati mereka. Saya tak akan biarkan hal itu berlaku," katanya tegas.

Seringkali dikaitkan dengan Zizan, hubungan mereka sebagai pasangan kekasih sebelum ini kononnya begitu eksklusif.

Susah mahu mendengar daripada mulut masing-masing engesahkan mereka kini memang sedang bercinta.

Baik Zizan mahu Emma lebih senang untuk ‘acah-acah’ melarikan diri daripada soalan itu. Paling tidak pun cuma mengaku sebagai kawan baik.

Namun selama mana mereka boleh menipu? Nah... Sekarang ini cinta mereka bukan lagi satu rahsia. Orang sudah mula bercakap. Malah sudah boleh membaca, meneka, bahkan melihat keintiman mereka berdua yang kini tidak lagi berselindung di sebalik tabir ‘kami cuma kawan baik’.

Emma ketika ditanya mengaku lega dengan keadaan sekarang. Terbuka terhadap kisah cintanya dengan Zizan tanpa perlu lagi berteka-teki.

“Sebenarnya nak kata saya dan dia sorok-sorok hubungan tak juga. Kami lebih suka menganggap siapa yang tahu, tahulah. Namun nak mencanang mengenai cinta itu tidak sama sekali.

“Bukan apa kita bimbang jika perkara yang baik tak jadi. Sebab itu selama ini saya akan cakap dia kawan rapat saya. Sekarang apabila sudah terbuka pun, jangan terperanjat, ada juga yang tak suka. Susah nak puaskan hati semua orang," ujarnya.

Berbicara lanjut kata pelakon berdarah kacukan Melayu-Scotland ini, keterbukaannya mengaku mengenai hubungannya dengan Zizan bukan kerana mahu menunjuk-nunjuk.

“Mungkin ada yang kata saya ini macam menunjuk-nunjuk walhal tidak pun. Saya dan Zizan sudah bersetuju untuk lebih terbuka kerana malas mahu memikirkan tentang kata-kata orang.

“Alhamdulillah, saya lega apabila semua sudah tahu mengenai hubungan ini. Tapi saya mohon untuk doakan yang terbaik saja. Yang kenal saya dan Zizan terutama peminat, mereka sokong dan restui hubungan ini, bahkan mendoakan kami.

“Ada yang cakap tak sesuai, ada yang tak suka tapi itu semua jodoh. Dengan siapa jodoh kita, kita kena terima dan doakan yang terbaik," katanya.
Previous Post Next Post