No title



Syamsul Yusof dan pasangannya, Puteri Sarah (kiri) bersama adiknya, Syafiq Yusof dan pasangan, Aeishah Zainal (kanan)kelihatan ceria pada majlis resepsi perkahwinan mereka di Dewan Perdana Felda Jalan Semarak.

SEJAK kebelakangan ini kedengaran suara-suara sumbang daripada kalangan wartawan hiburan yang mengatakan kononnya agak sukar untuk menemu bual Shamsul Yusof terutama selepas bernikah dengan pasangannya, Puteri Sarah pada awal bulan lalu.

Namun, pada majlis resepsi perkahwinannya di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur minggu lalu, anak Datuk Yusof Haslam ini membuktikan bahawa dakwaan itu kurang tepat.

Sebaliknya, dia tetap melayani wakil-wakil media selepas acara itu sambil menjawab segala pertanyaan yang diajukan meskipun hakikatnya Shamsul semakin berahsia tentang kehidupannya terutama selepas bergelar suami.




“Saya tidak mahu terlalu terbuka sangat dengan orang. Kalau boleh saya mahu privasi sikit," komennya apabila ditanya tentang rancangannya untuk berbulan madu selepas berkahwin.

Menurut pengarah dan pelakon berusia 30 tahun ini, dia bukan setakat tidak mahu berkongsi kepada umum tentang perkara-perkara seperti itu, malah hingga kini belum mempunyai perancangan untuk berbulan madu khusus bersama isterinya.

“Sebenarnya beberapa hari selepas bernikah, saya dan isteri telah pergi ke Pulau Pinang selama beberapa hari. Itu kira honeymoon (bulan madu) juga. Mungkin akan ada honeymoon ke luar negara tetapi tidak tahu lagi," ujarnya.

Jelas Shamsul, buat masa ini dia berasa lega kerana majlis perkahwinannya dan adiknya, Muhammad Syafiq dan pasangannya, Aieshah Zainal berjalan dengan lancar.

Baginya selepas ini adalah masa untuk bekerja keras yang mana dia akan terus aktif mengarah dan berlakon dalam filem terbitan Skop Production.

“Saya ada tiga buah filem lagi hendak diarahkan. Buat masa ini saya mahu menumpukan kepada pembikinan filem seram kedua arahan saya yang bertajuk Munafik," katanya.

Sementara itu, Syafiq yang ditemui selepas majlis itu turut berasa lega kerana majlis itu pada masa sama turut menghimpunkan ramai tetamu termasuklah orang yang telah lama tidak ditemuinya.

“Ramai artis yang datang malam ini yang sudah lama saya tidak jumpa seperti Datuk AC Mizal yang saya kenali sejak kecil," ungkapnya.

Pada masa sama anak bongsu Yusof Haslam yang berusia 22 tahun ini berkata, dia tidak menduga akan bertemu jodoh pada usia yang muda.

Pada masa sama dia menolak andaian mengatakan niatnya mahu berkahwin awal kerana mengikut trend anak-anak muda pada zaman sekarang.

“Itu saya tidak boleh cakap. Mungkin sudah jodoh saya. Saya dan isteri pun bukannya baru berkawan kerana kami telah bercinta sejak empat tahun lepas. Saya terima jodoh ini dengan rasa syukur.

“Ini kerana, saya rasa macam lebih bersemangat selepas kahwin. Matlamat saya selepas ini adalah untuk bekerja lebih kuat. Saya mahu cari duit banyak-banyak untuk keluarga saya," katanya yang sedang dalam proses menunggu tayangan filem terbaharu arahannya berjudul Abang Long Fadzil lakonan Zizan Razak.

Majlis resepsi yang diadakan pada malam itu menjemput seramai kira-kira 1,200 tetamu dan ia dipersembahkan dengan nyanyian Ziana Zain, Mawi, AC Mizal, Hail Amir, Uji Rashid dan tiupan saksofon Datuk Dr. Ahmad Nawab.
Previous Post Next Post