Iqbal Dibenci & Dikutuk Kerana Ceria Popstar 2



Walaupun sentiasa tersenyum namun siapa sangka jauh di sudut hati naib juara Ceria Popstar 2, Iqbal tersimpan rasa sedih tatkala mengenangkan sikap segelintir rakan-rakan di sekolahnya yang seakan-akan memperlekehkan bakatnya.

Ketika ditanya mengenai hal tersebut, Iqbal pada mulanya agak berat untuk bercerita namun akhirnya dia akur.

Menurut Iqbal, dia sememangnya berasa sedih dengan tindakan rakan-rakannya itu malah dia juga tidak tahu mengapa dia diperlakukan sebegitu rupa.




“Ramai yang mengata saya di sekolah... Saya juga tidak tahu mengapa.

“Lebih-lebih lagi sejak saya masuk Ceria Popstar 2… Mereka seakan-akan membenci saya,” katanya ketika ditemui ARTISMELETOP.

Tambah Iqbal lagi, peristiwa yang paling tidak dapat dilupakan ialah apabila dia dikutuk secara terang-terangan ketika berada di sekolah.

“Pernah juga suatu hari apabila saya sedang berjalan untuk ke kelas tiba-tiba ada seorang pelajar mengutuk saya secara depan-depan... Mereka melebelkan saya sebagai seorang yang perasan dan suka popular.

“Ada juga yang mendoakan supaya saya tidak berjaya ke peringkat akhir Ceria Popstar 2, walhal tujuan saya masuk pertandingan itu adalah untuk membuktikan bakat yang ada pada diri saya,"

“Kebanyakkannya adalah lelaki dan bila terjadinya perkara seperti ini memang saya sedih tetapi saya kuatkan semangat saya,” jelasnya.

Iqbal atau nama sebenarnya Ahmad Iqbal Baqi Omar Baqi memberitahu kejadian yang berlaku itu membuatkan dia lebih tabah dan bersedia dalam mengejar cita-citanya.

Malah dia juga telah berjaya membuktikan bahawa segala kutukan yang diterima tidak menghalangnya untuk bergelar naib juara Ceria Popstar 2.

“Sekarang saya dah buktikan bahawa setiap kata-kata negatif yang dilemparkan tidak menjadi halangan buat saya untuk memasuki peringkat akhir dan bergelar naib juara,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kejayaannya yang berjaya merangkul gelaran naib juara Ceria Popstar 2, Iqbal memanjatkan rasa syukur dan berpuas hati dengan kemenangannya.

“Alhamdulillah, dapat naib juara pun Iqbal dah rasa seronok, rasa puas hati sebab saya dah berikan yang terbaik.” tambahnya.

Mengenai wang kemenangannya pula, Iqbal memberitahu akan menggunakan RM15,000 dengan sebaiknya selain memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim.



Previous Post Next Post