Nadia dan Sammy: Doakan Kami



PERBEZAAN agama membuatkan Nadia dan Sammy perlu lebih masa berfikir untuk masa hadapan mereka.

HAMPIR dua tahun setengah menjalin hubungan jarak jauh, perkataan terbaik yang boleh menggambarkan hubungan ini hanyalah “pengorbanan". Bagi personaliti TV3, Nadia Shahrul Annuar, 31, tidak kisahlah jikalau dia perlu berulang-alik sekalipun memandangkan kasih sayang sudah membuatkan dia lali dengan keadaan itu.

Fikirnya bukan sesuatu yang pelik untuk dia yang sering ke Jakarta menemui cinta hatinya, memandangkan penyanyi Indonesia itu lebih sibuk berbanding dirinya. Menjadi pengacara untuk program Malaysia Hari Ini (MHI), jelas Nadia jadual kerjanya lebih fleksibel berbanding Sammy Simorangkir, 32 yang kini semakin sibuk menguruskan kerjaya nyanyian di negara seberang.

“Memang saya yang berulang-alik, kalau ikutkan jadual kerja saya lebih fleksibel berbanding dia.

Saya fikir benda ini bukan sesuatu yang merunsingkan memandangkan saya juga faham keadaan dia yang selalu sibuk dengan kerja," katanya ketika ditemui di majlis Seindah Ramadan Anugerah Syawal TV3 & TV9, bertempat di Hotel One World, Petaling Jaya baru-baru ini.

Tidak lokek menerangkan bagaimana hubungan yang terjalin ini berlangsung, jelas Nadia buat masa sekarang semuanya dalam keadaan baik. Malah katanya hubungan jarak jauh ini langsung tidak memberi kesan kepada mereka memandangkan masing-masing sudah matang dalam soal ini.






“Hubungan kami sekarang okey. Doakanlah yang baik-baik untuk kami.

“Insya-Allah. Perlahan-lahan kami berusaha menguatkan hubungan ini. Kalau ada jodoh, tak ke mana", katanya.

Bukan setakat menjalin hubungan jarak jauh, Nadia juga tidak menolak masih perlu bersabar dalam mencari jalan untuk perbezaan (agama) yang wujud. Ujar Nadia perkahwinan bukan destinasi utamanya kini memandangkan dia dan Sammy juga sangat berhati-hati dalam memastikan perkara ini tidak menyakiti mana-mana pihak.

“Setiap pasangan ada cabaran sendiri, macam saya juga. Jujur saya pernah berkahwin jadi untuk ini saya sangat berhati-hati. Macam Sammy sendiri juga dia serius dengan saya.

“Cuma dalam perkahwinan, yang ada perbezaan seperti ini memerlukan kami lebih masa dan ruang. Setakat ini kami belum bincangkan lagi soal perkahwinan, tetapi doa-doakanlah," katanya ringkas.

Tidak mendapat tentangan keluarga kedua belah pihak. Nadia percaya kematangan mereka dalam menguruskan kehidupan masing-masing menambahkan lagi sebab mereka selesa dengan keadaan sekarang. Benar setiap wanita mengimpikan perkahwinan, tetapi jelas Nadia, pengalaman lalu banyak mengajarnya untuk lebih bersabar.

“Keluarga saya tidak ada masalah memandangkan mereka tahu saya matang dalam membuat keputusan.

“Macam Sammy sendiri dia tidak pernah berkahwin, jadi saya tidak mahu ini dijadikan tekanan buat dia. Saya lebih senang memberi ruang untuk dia," katanya.

Pernah ‘terputus’

Ralit mengecapi bahagia, Nadia tidak menolak pernah dikejutkan dengan derita. Kata Nadia pernah suatu ketika dia dan Sammy gagal mencari titik keseimbangan dalam hubungan. Demi mengubati hati masing-masing, keputusan yang dibuat ketika itu adalah untuk berjauhan buat seketika.

“Memang dalam masa dua tahun setengah itu kami pernah berbalah, sama seperti pasangan lain.

“Apa yang kami buat adalah dengan memberi ruang buat diri masing-masing sahaja. Kini kami masih mencuba dan akan terus berjuang demi hubungan ini," katanya.

Susah sebenarnya untuk melihat sebuah hubungan jarak jauh seperti ini berjaya. Ini kerana dugaan yang dihadapi pasangan seperti ini khabarnya lebih kuat berbanding hubungan biasa. Hanya tersenyum menjelaskan keadaan hubungan ini, Nadia akui dia sering mengalah.

“Memang nampak saya yang banyak terbang ke sana, tetapi saya tidak kisah untuk mengalah. Sebab kita tahu kalau ditakdirkan bersama nanti saya juga akan tinggal di sana.

“Soal kontroversi atau gosip yang melanda pula, Nadia akan pastikan Nadia percaya dia. Dan menilai sendiri jawapannya melalui media di sana," katanya.

Turut menjadi buruan media di Indonesia, jelas Nadia sehingga kini dia dan Sammy sebenarnya lebih senang untuk tidak terlalu bercakap soal ini. Katanya lagi, populariti bukan fokus utamanya, malah dia lebih selesa untuk melalui hubungan ini sebagai seorang wanita biasa tanpa bahang populariti.

“Memang kalau di sana ada juga wartawan yang mahu menemu ramah. Tetapi saya bukan jenis yang suka populariti. Sebab itu kami berdua lebih selesa menyelesaikan permasalahan kami secara privasi.

“Senang cerita macam pasangan normal lain, yang tidak perlu berkongsi dengan pihak luar," katanya.
Previous Post Next Post