Amy Search, Nabila Huda berhubung setiap hari


Penyanyi, Amy Search dan anaknya, Nabila Huda.

Hubungan baik dua beranak, Amy Search dan Nabila Huda kembali pulih selepas anak kesayangannya itu pulang beraya Syawal lalu.

Malah Amy yang ditemui BH Online di Balai Berita sebentar tadi kerana mempromosikan program realiti Mentor Legend di TV3 mengakui ukhuwah kedua beranak itu kian baik sejak 1 Syawal lalu.

Kata rockers yang pernah menganggotai kumpulan Search itu, mereka berhubung hampir setiap hari sejak itu.






"Selalunya setiap pagi, dia akan WhatsApp saya beritahu apa yang dilakukan setiap hari. Malah pada sebelah malam pun, dia akan beritahu saya yang dia sudah sampai rumah. Saya gembira dengan situasi ini. Alhamdulillah ada hikmah di sebalik apa yang terjadi.

"Kepulangan dia Syawal lalu di kampung Bakar Batu, Johor bersama anaknya, Keisha Laila menjadi hadiah terbesar bersempena hari lahir saya yang ke-56 jatuh pada 1 Syawal.

"Saya pun tak nak ungkit kisah lama membabitkan dia dengan kekasihnya. Cukup hubungan kami baik seperti biasa.

"Apa yang lebih penting, saya mahu tengok dia terus berjaya dalam kerjaya seni," kata Amy.

Dalam perkembangan lain, Amy dan Nabila juga akan terbabit dengan inisiatif menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan menganjurkan Ops Gerak Merdeka selama dua hari 27 dan 28 dari pagi hingga ke malam.




"Kami akan menghiburkan peminat seperti pemuzik jalanan termasuk menyerahkan bendera kepada orang awam serta peminat. Beberapa lokasi yang dipilih antaranya seperti Sentul, Flat Cheras, Setapak, Ampang, LRT Masjid Jamek, KL Sentral, KL Down Town serta Uptown.

"Saya mewakili generasi lama dan Nabila pula generasi muda. Harap acara sebegini akan terus memberi kesedaran dan mengekalkan rasa cinta kita terhadap Malaysia. Acara ini juga boleh dianggap seperti majlis bertemu dan beramah mesra dengan masyarakat," katanya yang akan terbabit dengan konsert solo di Singapura pada 20 September depan.

Previous Post Next Post