Tekken 2: Misi mencari identiti



BAGI kaki-kaki permainan video, permainan Tekken barangkali tidak lagi asing buat anda dan anda pastinya mengenali dan memahami setiap pergerakan permainan ini.

Setelah menemui penonton menerusi filem Tekken pada 2009, kini filem yang sekali lagi diadaptasi daripada permainan video berjudul sama ini kembali dengan Tekken 2: Kazuya’s Revenge.

Filem ini mengisahkan tentang jin yang terseksa akibat menghidapi penyakit amnesia dan dia mencuba untuk selidik siapa dirinya yang sebenar dan dalam masa yang sama telah dirinya telah diculik oleh satu organisasi penjenayah.






Keseluruhannya, filem ini adalah mengenai kisah balas dendam, mencari identiti dan aksi-aksi yang cukup mengagumkan.

Namun pada pandangan penulis, filem ini mungkin hanya akan mendatangkan keterujaan kepada peminat permainan video ini sahaja tetapi tidak pada peminat filem aksi atau filem seni mempertahankan diri.

Biarpun sarat dengan aksi-aksi pertarungan yang cukup mencemaskan, filem yang diarahkan oleh Wych Kaosayananda dan membariskan barisan pelakon seperti Kane Kosugi, Kelly Wenham, Cary Tagawa, dan Gary Daniels, tidak banyak bezanya dengan filem Tekken yang pertama.



Walaupun filem ini menampilkan hampir 99.9 peratus aksi pertarungan, ia belum cukup kuat untuk mengikat penonton supaya setia sepanjang tayangan kerana aksi pertarungan ditonjolkan agak lemah biarpun secara relatif ia lebih sempurna berbanding filem Street Fighter - Legend Of Chun Li, DOA mahupun Mortal Kombat.

Perbandingan pelakon

Cuma dari segi lakonan, Kane Kosugi nampak lebih berjaya menghayati jalan cerita filem ini berbanding pelakon Tekken yang pertama iaitu Jon Foo.

Barangkali kerana berdarah Jepun dan China membuatkan pemilihan dilihat lebih tepat, lebih-lebih lagi berkaitan rupa dan bentuk badan.

Malah lakonannya juga dilihat lebih hidup dan dia kelihatan garang bila membabitkan babak aksi.

Paling berkesan adalah kecelaruannya dalam mencari identiti yang sebenar.




Boleh dijangka

Selain itu, jalan ceritanya klise dan kurang memberi kesan, malah keghairahan mula hilang apabila dapat mengagak setiap pergerakan serta kesudahan cerita yang tidak tidak jauh berbeza dengan mana-mana kisah pembalasan dendam.

Pendek kata, tiada kejutan yang boleh dijangka daripada filem ini, namun apa yang penulis boleh katakan, Tekken 2 digarap lebih baik berbanding Tekken.

Dengan pengekalan beberapa pelakon lama di samping pelakon baru, filem ini barangkali akan menimbulkan keterujaan bagi mereka yang pernah bermain permainan video filem ini.
Previous Post Next Post