Baggio pentingkan integriti


BAGGIO menyifatkan jika dia menerima tawaran menyertai program realiti mempertaruhkan vokalis lama tersebut, dirinya setaraf dengan penyanyi baharu.

MENERUSI laporan yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar mingguan tempatan baru-baru ini, penyanyi rock era 90-an, Baggio dilaporkan telah menyelar tindakan sebuah stesen televisyen berbayar menerusi laman Facebook miliknya.

Baggio atau nama sebenarnya Bahagia Daharun, 43, menyifatkan ada stesen TV yang cuba merendah-rendahkan kredibiliti penyanyi-penyanyi rock otai era 1990-an apabila menawarkan mereka sebuah program realiti nyanyian yang tidak masuk akal.

Lebih mengecewakan, Baggio merasakan tawaran berkenaan tidak sesuai dengan usia mereka apabila format penjurian program berkenaan sama seperti pertandingan nyanyian bertaraf amatur. Menerusi program baharu itu, peserta yang tidak mencapai tahap yang memuaskan akan disingkir setiap minggu.






Ketika dihubungi Kosmo! untuk meminta penjelasan lanjut mengenai isu tersebut, pelantun lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi itu menyatakan, tindakan stesen televisyen berkenaan dilihat seperti mahu mengaut keuntungan di sebalik fenomena yang telah dibina oleh Baggio dan rakan-rakannya dahulu.

Tambahnya, banyak cara lain yang boleh dibuat untuk mengetengahkan produk-produk baharu penyanyi veteran selain daripada menjemput mereka untuk bertanding dalam sebuah program realiti.

Kosmo!: Bolehkah Baggio terangkan tentang tawaran yang diberikan kepada anda untuk menyertai program realiti tersebut?

BAGGIO: Saya mendapat tahu tentang perkara ini sekitar dua minggu lalu. Ketika itu, saya hanya mendengar khabar angin daripada rakan-rakan terdekat. Namun, tidak sangka pula saya menerima panggilan telefon daripada pegawai perhubungan awam stesen televisyen tersebut.

Apakah yang ditawarkan oleh mereka?

Menurutnya, nama saya telah tersenarai untuk menyertai pertandingan baharu yang akan diadakan tidak lama lagi. Justeru, panggilan tersebut dibuat untuk bertanya adakah saya berminat untuk ikut serta.

Apakah reaksi anda ketika itu?

Seperti dalam status saya tempoh hari, saya menolak mentah-mentah tawaran tersebut. Usaha mengumpulkan otai-otai muzik era 90-an dalam satu rancangan televisyen memang boleh dianggap positif. Namun, di sebalik usaha itu, ia seperti ‘membunuh’ integriti dan maruah saya sebagai penyanyi. Jika saya mahukan wang, sudah lama saya terima tawaran tersebut. Tetapi, saya masih sayang dan hargai karier saya sebagai penyanyi.

Bagaimanakah anda melihat ia membunuh integriti anda sebagai penyanyi?

Mereka tidak tahu bahawa sepanjang 24 tahun saya berkecimpung dalam industri seni, banyak halangan dan kepayahan yang telah saya lalui. Apa yang saya hadapi sepanjang tempoh tersebut telah banyak mendewasakan saya. Apabila dipelawa untuk menyertai pertandingan seperti ini, ia sama sahaja meletakkan saya sebaris dengan penyanyi baharu yang kosong dalam bidang muzik. Kenapa vokalis yang telah lama dalam industri dilayan seperti penyanyi yang masih baharu dan kosong. Saya berasa sungguh kecewa, lagipun, tindakan mereka menerbitkan banyak rancangan realiti dilihat hanya mahu mengaut keuntungan sahaja.

Anda menyatakan telah berada pada satu aras tersendiri dalam industri muzik. Boleh terangkan kenyataan itu dengan lebih lanjut?

Saya telah berjaya membina jenama Baggio Damasutra. Selain itu, saya telah mengecapi zaman populariti. Perkara itulah yang sering diimpikan oleh penyanyi-penyanyi baharu. Walaupun telah lama tidak mengeluarkan album, orang ramai masih tahu lagu-lagu lama saya bersama kumpulan Damasutra. Jadi, saya tidak faham rasionalnya mereka untuk mempertemukan saya dengan vokalis-vokalis kumpulan lama dalam satu pertandingan.

Mengapakah anda bermati-matian tidak menyokong tindakan stesen televisyen tersebut?

Bagi saya, jika mereka berniat untuk menampilkan kami dalam rancangan televisyen, apa salahnya mereka membantu memberi liputan kepada single baharu penyanyi lama yang masih lagi aktif. Pertandingan tersebut masih mampu untuk membuka peluang kepada penyanyi lama muncul kembali tetapi sampai bila? Panasnya akan reda dalam masa hanya beberapa bulan.




Apakah pula reaksi rakan-rakan seperjuangan anda?

Terpulang kepada mereka. Jika mereka mahu menyertai pertandingan tersebut, itu hak mereka. Apa yang pasti, masih ada banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk membantu penyanyi-penyanyi lama mencari ruang mempromosikan produk baharu mereka.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Selain sibuk mempromosikan single berjudul Hujan Pelangi, saya bakal merakamkan dua buah single di bawah usaha sama dengan Clixster Music bagi projek Tabung Harapan tidak lama lagi.
Previous Post Next Post