BARU sahaja menyambut menantu baharu dalam keluarganya, Salamiah juga tidak sabar menantikan detik perkahwinan anak lelakinya yang bakal berlangsung pada Januari 2015.
KEBAYA biru yang tersalut sempurna pada tubuhnya menampakkan bahawa wanita yang melepasi usia separuh abad itu tidak hilang aura. Nyata, tenaga miliknya masih mampu menghadirkan kekaguman.
Undur ke belakang, gambaran Konsert Gelombang Salamiah Hassan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Januari lalu masih terasa. Pada usia 63 tahun, anak didik komposer terulung Datuk Ahmad Nawab itu tidak perlu dipersoalkan tentang kelangsungan hidupnya sebagai penyanyi.
“Saya masih menyanyi dan tidak akan berhenti menyanyi. Nyanyian adalah keghairahan saya. Lagipun saya tidak ada banyak perkara yang nak difikirkan, jadi saya boleh terus menyanyi,” katanya mesra sambil menyambung keterujaan terbaharu.
Salamiah Hassan dipilih sebagai salah seorang penyanyi wanita tempatan untuk merealisasikan sebuah konsert yang digelar Licence To Thrill: A Bond Concert.
Beliau bakal bergandingan dengan bintang antarabangsa seperti Simon Bailey dan David Shannon serta artis ternama tempatan seperti Jaclyn Victor dan Nikki Palikat.
Mereka akan menyanyikan lagu-lagu yang pernah menjadi runut bunyi untuk francais filem penyiasatan James Bond itu.
“Rasanya semua orang tahu dan pernah tengok filem James Bond. Saya paling suka James Bond lakonan Sean Connery dalam filem James Bond yang pertama (Dr. No). Ketika itu, umur saya masih belasan tahun, bayangkan betapa saya hidup bersama filem-filem James Bond,” katanya ketawa mengenangkan usia sendiri.
SALAMIAH HASSAN (tengah) berganding dengan Nikki Palikat (kiri) dan Jaclyn (kanan) dalam konsert Licence To Thrill: A Bond Concert yang akan berlangsung di Istana Budaya, November nanti.
Konsert Licence To Thrill: A Bond Concert bakal dipersembahkan di Istana Budaya pada 14 hingga 16 November depan.
“Saya akan menyanyikan tiga buah lagu solo termasuk Diamonds Are Forever dan rangkaian lagu medley bersama Nikki dan Jaclyn,” cerita Salamiah.
Alang-alang bertemu dengannya, kebahagiaan hati penyanyi lagu Gelombang itu dirisik tentang kehadiran anggota baharu dalam keluarganya.
Kira-kira dua minggu lalu, anak perempuannya, penyanyi Atilia Harun, 40, telah menamatkan zaman janda apabila melangsungkan perkahwinan dengan seorang jejaka, Adam Sofian Mazlan, 37.
“Persiapan untuk majlis itu telah pun dibuat sejak beberapa bulan lalu. Sebagai ibu, saya sangat gembira
“Tambah gembira lagi, anak lelaki saya, Raja Ahmad Shah pun akan berkahwin pada 10 Januari tahun depan. Tinggal lagi bila saya akan bergelar nenek. Jadi, sesiapa pun antara mereka yang akan dapat memberikan saya seorang cucu, saya sangatlah bersyukur, bolehlah saya bergelar nenek.
“Sekarang pun kalau ada anak-anak muda yang panggil saya dengan panggilan kakak, saya rasa pelik. Panggilan mama lebih membuatkan saya rasa bangga,” tutupnya dengan sebuah pelukan erat sebelum pulang.