Emma mengaku hubungan dengan Zizan dah putus



Ada dua sensasi yang dikongsikan oleh pelakon Emma Maembong dalam satu berita yang saling mempunyai kaitan. Pada asalnya, ia hanya berkaitan mengenai ketidakhadirannya ke tayangan perdana filem lakonan sendiri, Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh pada malam Jumaat lalu.

Isu tersebut menjadi hangat kerana Emma berganding dengan kekasihnya, Zizan Razak di dalam filem arahan sutradara Mamat Khalid, yang juga tidak hadir pada malam tayangan perdana itu. Menariknya, sebelum majlis berlangsung, Zizan dihambat gosip dengan seorang pegawai wanita stesen televisyen Astro.

Justeru, banyak pihak berpendapat, Emma dan Zizan tidak menghadiri tayangan perdana filem tersebut kerana bermasam muka. Emma sendiri, beberapa hari lalu memuat naik video beserta lirik lagu seperti sedang dicurangi oleh seseorang seperti mengesahkan hatinya yang remuk dengan perbuatan Zizan. Sementelah, mereka sempat berpisah awal tahun ini.

Bercakap kepada Kosmo!, Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail menjelaskan bahawa ketidakhadirannya ke tayangan perdana filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh kerana sedang menjalani penggambaran Isteri Separuh Masa di Pulau Langkawi, Kedah. Dalam masa yang sama, tanpa berselindung, pelakon berusia 23 tahun itu mendedahkan rasa cintanya terhadap Zizan telah lama mati, justeru tidak timbul soal dia mahu mengelak daripada bertemu lelaki itu dan menggadaikan profesionalismenya untuk tidak menghadiri tayangan perdana filem lakonannya sendiri.



Artis Meletop!: Emma, maaf mengganggu. Barangkali anda tahu mengapa pihak media kini sibuk mencari anda?

EMMA MAEMBONG: Maaf, saya sedang berada di klinik gigi, saya tahu ramai media yang mencari saya pada hari ini.

Boleh beri penjelasan mengenai ketidakhadiran anda pada majlis tayangan perdana filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh, baru-baru ini?

Saya bukan sengaja untuk tidak hadir pada majlis tayangan perdana filem lakonan sendiri, sebaliknya saya terikat dengan penggambaran sebuah naskhah bersama Michael Ang di Pulau Langkawi, Kedah iaitu Isteri Separuh Masa. Saya dimaklumkan tentang tarikh tayangan perdana ini agak lewat dan sudah terikat dengan penggambaran di Pulau Langkawi. Saya juga meminta pihak produksi Mamat Khalid berbincang dengan produksi Michael Ang untuk memberi pelepasan kepada saya menghadiri majlis tersebut. Bagaimanapun, saya tidak dilepaskan oleh produksi Michael Ang. Saya agak kecewa kerana saya kira pihak Mamat sudah maklum tentang ketidakhadiran saya, jadi mengapa timbul isu seperti ini.

Okay Emma, apabila anda tidak hadir dan Zizan juga tidak datang, ia menimbulkan spekulasi sebenarnya mengheret masalah peribadi dalam urusan kerja kalian. Ini kerana secara kebetulan, Zizan baru digosipkan dengan seorang pegawai wanita dari Astro, jadi spekulasi tentang kalian cuba mengelak antara satu sama lain terus bertebaran. Apakah komen anda?

Tidak. Itu adalah tidak benar kerana jika mahu diikutkan, sebelum ini sewaktu kami berpisah pada awal tahun ini, saya tetap hadir pada majlis hiburan yang sama. Malah, saya juga ada menemaninya sewaktu membuat latihan untuk salah satu episod Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014), pada Januari lalu, jadi tidak timbul soal saya mahu mengelak daripada bertemu dengannya. Ini semua soal berkaitan kerja. Seperti yang saya jelaskan tadi, saya tidak hadir kerana terikat dengan penggambaran di Pulau Langkawi, jadi saya tidak dapat pulang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri tayangan perdana filem itu.

Pendek cerita, bagaimanakah status hubungan kalian sebenarnya sekarang?

Secara jujur, saya dan Zizan memang sudah tidak mempunyai sebarang hubungan cinta sejak kami putus pada awal tahun ini. Kami tidak pernah sambung balik pun hubungan yang terputus dahulu. Namun, kami tetap baik atas dasar persahabatan dan saling menyokong kerjaya seni masing-masing.

Mengapakah sebelum ini anda tidak menjelaskan duduk perkara sebenar tentang status hubungan kalian yang sudah tidak lagi bercinta?

Saya malas kerana orang sering memandang saya sebagai kurang matang jika banyak memberi kenyataan. Jadi saya fikir, lebih molek saya mengambil pendekatan berdiam diri.

Anda sedar tentang gosip Zizan dan seorang pegawai wanita Astro baru-baru ini?

Saya malas mahu ambil tahu lagi, dan kalau sudah orang berkata, mungkin betul. Saya tak mahu ulas soalan ini kerana nanti orang akan menyalahkan saya pula.

Bagaimanakah anda menghadapi semua masalah ini?

Saya okay dan tidak tertekan, malah jika perlu bekerjasama dengan Zizan pada masa akan datang, saya tidak akan menolak. Saya perlu profesional.

Previous Post Next Post