Nurul lebih tenang, penuh kasih sayang



DUA tahun sudah cukup buat dirinya berpuas hati dengan kebahagiaan yang di kecapi.

Bermula dengan pertemuan jejaka pilihan, Eric Daniel Depp, 50 kini pemilik nama sebenar Nurul Huda Abdul Wahab mampu tersenyum lebar menikmati kemanisan hidupnya di samping insan tersayang.

Kehadiran tiga cahaya mata Ayu Nazirah, 17, Zachary Depp, 2 dan Raphael Depp, sebulan seakan menjadi pelengkap hidup buat wanita berusia 38 tahun ini.




“Alhamdulillah, Tuhan telah memakbulkan doa saya untuk memiliki seorang suami yang baik dan anak-anak seperti yang saya inginkan.

“Secara jujurnya saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu berkongsi perasaan bahagia ini dan apa yang pasti tidak ada apa yang perlu saya rungutkan selepas ini.

“Keluarga sentiasa menjadi keutamaan buat saya selepas ini dan sebagai seorang ibu dan isteri, saya mahu buat terbaik untuk mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada masa yang sama, Nurul akui pengalaman melihat sendiri anak-anak membesar depan mata adalah perkara terindah yang berlaku sepanjang hidupnya.

“Sebelum ini, saya sudah melihat Ayu membesar dan kini giliran Zachary dan Raphael.

“Melahirkan, mendidik dan membesarkan anak-anak memberi satu pengalaman yang sangat menakjubkan dan saya tidak mampu untuk menterjemahkan perasaan itu dengan kata-kata.

“Sebagai seorang wanita, saya bangga kerana saya rasa dihargai, diperlukan dan disayangi,” tuturnya.

Sokongan dan sifat memahami suami juga membuatkan Nurul lebih bersemangat meniti fasa kebahagiaannya.

"Eric seorang yang sangat memahami dan saya bersyukur kerana dia sentiasa menjadi tulang belakang memberi sokongan dalam setiap perkara.

"Kehadiran Zachary dan Raphael adalah sesuatu yang tidak bernilai buat kami berdua," katanya.


Keluarga impian

Enggan lagi menoleh kenangan lalu, kebahagiaan yang digapai hari ini sudah cukup membuat dirinya lebih bersemangat meneruskan kehidupan.

Teruja mengharungi kehidupan hari-hari mendatang, ibu kepada tiga orang anak ini mengakui lebih tenang menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.

“Keluarga yang saya miliki hari ini beri impak yang besar kepada diri saya di mana saya rasa lebih tenang kerana dikelilingi dengan perasaan kasih sayang.

“Saya akui hidup saya sebelum ini tidak memiliki tujuan dan lebih merisaukan fikiran dan emosi sentiasa terganggu.

“Jika mahu dibandingkan dengan sekarang, saya rasa lebih tenang dan rasa selamat dengan adanya keluarga yang sentiasa menjadi semangat dan kekuatan buat saya,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul turut mengakui peredaran usia juga mematangkan dirinya untuk menjadi seorang yang lebih menghargai.

“Satu ketika dahulu, saya pernah membesarkan seseorang anak namun mungkin usia ketika itu terlalu awal menyebabkan saya tidak begitu menghargai masa yang ada.

“Berbeza dengan situasi sekarang di mana setiap saat bersama keluarga adalah momen terindah buat saya dan memang kematangan usia itu sangat membantu saya menjadi seorang yang lebih baik,” jelasnya.


Kembali aktif

Selepas impian memiliki keluarga bahagia sudah tercapai, kini Nurul memberitahu 2015 adalah tahun untuk membina semula karier muziknya.

Walaupun masih menjalani tempoh berpantang, Nurul bagaimanapun sudah bersiap sedia mengatur perancangan untuk kembali aktif dalam karier nyanyian.

“Walaupun tempoh berpantang masih berbaki seminggu lagi, saya sudah sibuk membuat beberapa perancangan.

“Alhamdulillah, saya masih menerima beberapa undangan nyanyian bermula April ini. Dalam masa yang sama, saya juga ada membuat beberapa perancangan sendiri.

“Jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, pada 9 Mei ini saya akan membuat persembahan sambutan hari ibu di Singapura di mana ia akan dijalankan sebelum sambutan ulang tahun ke 20 saya dalam industri ini.

“Cuma sekarang kami sedang sibuk mencari penaja dan mengharapkan semuanya dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Tambahnya, dalam masa dua tahun memberi ruang kepada kehidupan peribadi, kini sudah tiba masa dirinya untuk beri perhatian terhadap minatnya.

“Tahun ini memang saya mahu buat ‘comeback’. Walaupun tidak memiliki lagu baharu, saya mulakan dengan menerima undangan nyanyian terlebih dahulu.

“Lagi pun bukan senang mahu mencari lagu yang bersesuaian. Memang saya sudah diberikan beberapa lagu tapi sukar untuk mencari kelainan yang sesuai dengan imej dan penampilan saya sekarang,” katanya yang kali terakhir tampil dengan album ‘Mari’ pada 2012 lalu.


Kejar impian

Menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu dan selebriti bukanlah sesuatu yang mudah bukanlah alasan buat penyanyi yang berkulit hitam manis ini untuk melupakan impiannya.

“Walaupun selepas ini tanggungjawab semakin bertambah, saya masih mahu teruskan karier nyanyian kerana masih ada impian yang belum tercapai.

“Sebenarnya apa yang saya lalui ini sama sahaja seperti wanita lain di luar sana cuma kerjaya yang membezakannya.

“Jika semuanya sudah tercapai, mungkin saya akan ambil keputusan untuk beri perhatian sepenuhnya kepada keluarga tapi bukanlah dalam asa yang terdekat,” ujarnya panjang lebar.



Previous Post Next Post