Zul Ariffin: Tiada masa berseronok



PERJALANAN seni aktor kacak bernama Zul Ariffin dalam dunia lakonan boleh dianggap berada pada fasa yang mengujakan. Perubahan karier yang dilaluinya sepanjang tujuh tahun berkecimpung dalam arena seni tanah air nyata mengubah laluan hidupnya sedikit demi sedikit.

Apa tidaknya, karier jejaka bersusuk tegap dari Taiping, Perak itu jelas mula menampakkan perubahan drastik selepas penglibatannya dalam drama bersiri berjudul Rindu Awak 200% disiarkan pada tahun lalu.

Sejak itu, pemilik nama sebenar Zulkifli Ariffin, 28, itu semakin mendapat perhatian khalayak atas kredibiliti kerja dan usaha keras yang dilakukannya sejak bertatih mengenal mukadimah jurnal seninya.

Siapa sangka, jika dahulu kontroversi seringkali melingkari orbit hidupnya tetapi hari ini, namanya menjadi pujaan ramai. Buktinya, sepanjang tempoh enam bulan ini, Zul sudah berjaya menjulang trofi dalam beberapa majlis anugerah dunia hiburan tanah air.

Antara anugerah yang berjaya diraih adalah Pelakon Harapan Lelaki pada Festival Filem Malaysia 2014, Pelakon Lelaki Pilihan (Drama Festival Kuala Lumpur 2015), Pelakon TV Meletop (MeleTOP Era 2015), Artis Lelaki Stailo serta Gandingan Serasi di Layar Bersama Ayda Jebat menerusi drama Rindu Awak 200% (Anugerah Bintang Popular 2014).


“Ini merupakan kali pertama saya menghadiri setiap majlis anugerah yang dimenangi sepanjang berkecimpung dalam industri seni lakonan. Terus terang, saya memang tak biasa menghadiri majlis anugerah jika nama ini tidak tercalon pada anugerah tersebut.

“Alhamdulillah, dalam tempoh enam bulan ini saya sudah merangkul lima anugerah pada beberapa majlis berprestij yang dianjurkan,” ujar Zul yang berterima kasih kepada peminat dan mengakui sinar populariti yang diterima pada tahun lalu telah membawa makna berbeza dalam kariernya.

Melihat impak populariti yang semakin mewangi dalam lapangan seni lakonan, dia mengakui, bergelar selebriti bernama Zul Ariffin kini bukan satu tugas yang mudah untuk dipikulnya.

Katanya lagi, biarpun disimbahi dengan percikan dunia glamor, namun dia percaya populariti yang diraih tidak akan menjamin kariernya jika dia tidak memikirkan soal perancangan masa depan.



“Tidak dinafikan, memang seronok ketika nama sedang berada di puncak tetapi percayalah, populariti tidak akan menjamin masa depan seseorang. Sebagai selebriti, saya perlu sentiasa berfikir cara untuk menjenamakan diri agar terus diingati dan bertahan dalam industri seni.

“Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir akan menjadi seperti hari ini. Bagi saya, apabila telah mencapai satu tahap yang selesa, perlu mencari jalan untuk menyalurkan setiap bakat yang dimiliki kepada projek yang bagus pada masa mendatang.

“Ini kerana, peminat akan sentiasa menantikan produk seterusnya yang akan dipersembahkan. Kalaulah saya asyik mahu berseronok, lama-kelamaan pasti nama akan makin tenggelam kerana tiada lagi naskhah baharu yang ditonjolkan. Lagipun, sekarang ini ramai pendatang baharu yang mewarnai industri seni lakonan tanah air,” jelasnya.

Menganggap kerjaya lakonan sebahagian daripada bisnes, Zul berkata, dia perlu bijak memasarkan diri sendiri untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

“Dalam dunia lakonan, seseorang pelakon itu perlu memiliki jenama yang kuat untuk menjadi ‘duta’ kepada diri sendiri.

“Secara peribadi, jika mahu berjaya kita perlu gunakan setiap kelebihan yang dimiliki dan mencuba nasib dalam menerima projek yang bagus untuk masa depan. Ini kerana, apabila seseorang itu sudah mempunyai jenama yang kukuh, secara tidak langsung dia akan ke fasa seterusnya.

“Oleh itu, saya perlu sentiasa fokus terhadap karier lakonan supaya khalayak mengenali sebagai seorang aktor bukan seorang ahli perniagaan atau sibuk dengan kerjaya lain,” tegas Zul yang baru selesai menjalani penggambaran drama adaptasi novel berjudul Mr. London Vs Mrs. Langkawi bergandingan dengan pelakon cantik Izara Aishah.

Ibu

Sementara itu, sejak kebelakangan ini, Zul dilihat banyak berkongsi kejayaannya dengan ibu tersayang, Rubiah Nasir di akaun sosial Instagram miliknya.

Kata anak bongsu daripada empat beradik itu, kejayaan yang dikecapinya kini adalah berkat sokongan keluarga.

Menurutnya, sokongan dan restu yang diberikan keluarga telah mencipta ketenangan untuk meneruskan impian dan membuat keputusan.

“Sebelum mengintai peluang dalam dunia lakonan pada tahun 2008, saya pernah melanjutkan pelajaran dalam jurusan seni halus dan kemudian beralih ke bidang rekaan grafik. Bagaimanapun, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerana bidang tersebut tidak begitu menarik minat saya pada masa yang panjang.

“Disebabkan itu, saya nekad untuk menceburi bidang lakonan. Walaupun ibu saya terkilan kerana tidak dapat melihat anaknya menggenggam segulung ijazah, namun saya beritahu dia saya akan buktikan kepadanya bahawa saya akan sukses dalam bidang ini.



“Alhamdulillah, selepas hampir tujuh tahun bergelar anak seni akhirnya pengorbanan saya berbaloi. Saya berjaya membuktikan kepada kedua-dua ibu bapa bahawa saya mampu membanggakan dan menggembirakannya,” kongsi Zul yang kini sedang melalui fasa bahagia bersama kekasih hati.

Kekasih

Berbicara lanjut mengenai kisah perhubungannya bersama bekas penerbit filem produksi Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai, Zul memberitahu, perancangan untuk berkahwin itu ada tetapi ia memerlukan masa yang sesuai untuk dilaksanakan.

“Tipulah kalau dalam perhubungan jika tiada perancangan untuk ke fasa seterusnya. Buat masa ini, banyak perkara yang saya perlu utamakan terlebih dulu dan disebabkan itu, perancangan untuk menamatkan zaman bujang terpaksa ditangguhkan seketika.

“Dari satu bulan ke satu bulan lain, tetapi ia tetap tidak menjadi. Gayatri juga faham akan kesibukan saya dan dia juga tidak merungut,” ujarnya sambil memberitahu, dia dan kekasihnya itu tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin pada tahun ini.

Tambah Zul, seseorang lelaki itu perlu memilih pasangan hidup berdasarkan dua kategori iaitu wanita yang menguatkan atau melemahkan pasangannya.

“Lelaki perlu membuat pilihan yang tepat. Kita akan berjaya sekiranya memiliki pasangan yang terbaik kerana pasangan kita itulah akan menyokong untuk lebih berjaya pada masa akan datang,” ujarnya.

Previous Post Next Post