Sharnaaz Ahmad bimbang kualiti filem tempatan


SHARNAAZ dan teman rapatnya, Anis Al Idrus saling menyokong antara satu sama lain dalam apa jua bidang diceburi.

TERKENAL sebagai seorang aktor yang lantang bersuara sedikit pun tidak melunturkan semangat anak seni bernama Sharnaaz Ahmad, 30, untuk terus berkecimpung dalam lapangan lakonan yang menjadi punca rezeki utama dalam hidupnya. Walaupun bertubi-tubi dikritik dek kontroversi yang timbul, dia terus melangkah jauh untuk terus meletakkan dirinya sebagai salah seorang pelakon lelaki berkaliber tanah air.

Pernah melakonkan watak samseng, lelaki lembut atau romantik membuktikan bahawa jejaka berasal dari Pulau Pinang ini sangat komited dalam apa jua tugasan yang diberikan kepadanya.

Bercakap mengenai sikapnya dalam bekerja, hero drama Suamiku Encik Sotong ini menyatakan bahawa dia mementingkan kualiti dalam setiap naskhah yang membabitkan dirinya berbanding kualiti. Malah akuinya, dia lebih puas berlakon drama berbanding filem. Justeru, Sharnaaz tidak kisah kerana jarang muncul sebagai aktor layar lebar atau filem berbanding drama.

“Saya memang banyak terbabit dengan drama berbanding filem kerana maaf cakap, banyak filem sekarang yang dihasilkan tidak ada kualiti. Jadi, saya tegaskan kepada diri sendiri untuk tidak melibatkan diri dengan mana-mana produksi filem yang tidak mementingkan kualiti.

“Saya tengok filem tempatan sekarang tidak mencapai kualiti sebuah naskhah yang besar. Ia lebih kepada buat filem dengan taraf telemovie. Selain tajuk yang kurang baik, jalan ceritanya juga tidak memberangsangkan,” ujarnya dengan nada serius.

Aktor itu bagaimanapun menegaskan, dia tidak mempunyai niat untuk menjatuhkan imej para pengarah atau penerbit filem. Hanya ujar Sharnaaz, sebagai salah seorang pelaku seni yang serius mencari makan dan mahu melihat martabat dunia perfileman tempatan kukuh, dia tidak takut melahirkan pandangannya itu.

“Industri perfileman kita perlukan suatu anjakan untuk sama-sama bersaing di pentas antarabangsa. Sebagai salah seorang pelaku seni, saya sayangkan industri, sebab itu saya cakap seperti ini. Saya yakin ramai juga di luar sana yang sependapat dengan saya,” katanya.


Kolagen

Sementara itu, berbicara di luar kisah kebimbangannya terhadap kualiti filem tempatan, bintang yang mula berkecimpung sebagai anak seni sejak tahun 2009 itu kini mengorak satu langkah ke hadapan apabila melancarkan produk kecantikan dan kesihatan, Biogenesis Collagen.

Ia merupakan minuman kesihatan, tenaga tambahan dan berfungsi untuk mencerahkan kulit yang boleh digunakan oleh kaum hawa atau lelaki.

Ditanya mengapa dia memilih untuk mengusahakan perniagaan yang berasaskan kolagen, Sharnaaz mempunyai alasan tersendiri.

“Pada mulanya, saya ingin menghasilkan produk susu protein tetapi kerana mahukan sesuatu yang memberi manfaat kepada kedua-dua jantina iaitu lelaki dan perempuan, maka saya pilih kolagen.


SHARNAAZ kini bergelar pengasas produk kesihatan, Biogenesis Collagen.

“Kemudian kami melakukan kajian selama setahun bersama pakar, maka terhasillah produk ini yang telah lama menjadi cita-cita saya,” ujar aktor yang mengukir nama melalui watak Lan Todak dalam drama Juvana.

Diasak pertanyaan mengapa memilih untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan, Sharnaaz menyatakan sudah sampai waktunya dia membuka satu jalan baharu dalam hidupnya.

“Saya tidak boleh berasa selesa dengan kerjaya sebagai seorang pelakon. Saya harus sentiasa melakukan anjakan untuk kepentingan diri dan orang-orang yang disayangi.

“Lagipun, saya tidak semakin muda. Banyak lagi perkara yang ingin saya rencanakan dan pelancaran produk ini adalah salah satu daripadanya,” tuturnya bersemangat.

Sahabat baik

Sementara itu, menyentuh tentang hubungannya dengan model jelita, Sharifah Anis Al-Idrus, 27, Sharnaaz mengatakan buat masa sekarang Anis merupakan rakan yang paling rapat dengannya.

“Saya dengan Anis memang rapat tapi dia bukan teman wanita saya. Dia hanya sekadar rakan yang menjadi orang paling rapat dan tahu apa saya lakukan dalam hidup.

“Dia memang baik dan saya pun rasa Anis akan cakap perkara yang sama tentang saya (ketawa). Apa yang boleh saya katakan, kami rakan baik dan sentiasa saling menyokong serta bantu-membantu antara satu sama lain,” tuturnya sambil berseloroh.

Anis yang kebetulan berada pada majlis yang sama (menjadi pengacara) turut menidakkan statusnya sebagai teman wanita Sharnaaz.

“Sejujurnya, kami memang tidak pernah mengucapkan secara rasmi mengenai status sebagai pasangan kekasih. Hubungan kami tidak lebih sekadar kawan rapat.

“Saya tidak mahu mengiyakan sesuatu yang tidak pasti. Jika tertulis dia adalah jodoh saya, siapa saya untuk melawannya (takdir)?,” jelas pemilik butik Anis Al-Idrus Wardrobe itu bersungguh.

Sharnaaz dalam pada itu mengatakan, dia juga perlu menghormati perasaan keluarga Anis dan keluarganya selain tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Saya banyak belajar daripada kesilapan. Sebab itu saya tidak mahu memperbesar-besarkan perkara yang masih dalam fasa awal.

“Insya-Allah kalau ada jodoh antara kami, pasti perkara itu akan dihebohkan kepada umum,” tuturnya menutup bicara.

Previous Post Next Post