Byung-Hu cipta nama di Hollywood



MESKIPUN ‘diterima’ di Hollywood, aktor popular dari Korea Selatan, Lee Byung-Hun pernah berbelah bahagi untuk terus mengembangkan karier lakonannya di Amerika Syarikat, kira-kira dua tahun lalu.

Namun, selari dengan peredaran masa, mungkin ‘rasanya’ itu boleh segera dihentikan memandangkan kini Byung-Hun cukup ‘lebat’ dengan pelbagai tawaran filem di Hollywood.

Bermula dengan filem l Come With The Rain pada 2009, aktor kelahiran Seoul, Korea Selatan itu kembali berpeluang membintangi filem pecah panggung Hollywood seperti G.I. Joe: The Rise of Cobra (2009), G.I. Joe: Retaliation (2013) dan Red 2 (2013). Terbaharu, bakat lakonannya boleh dinilai menerusi filem Terminator Genisys (2015).

Terus diintai Hollywood, keupayaannya berlakon terus diasah menerusi tawaran filem seperti Rush Hour 4: Face/Off 2, Beyond Deceit dan The Magnificent Seven di samping aktor terkenal Hollywood seperti Al Pacino dan Chris Pratt.

Bagaimanapun, sehingga ke hari ini, pihak pengurusannya masih mempertimbangkan mengenai tawaran filem yang bakal diterima Byung-Hun.

"Dia memang ingin segera kembali ke lokasi penggambaran selepas kelahiran anak pertamanya. Tapi, dia masih belum memutuskan untuk terlibat dalam filem apa atau jadual terbarunya," kata wakilnya.

Mengakui seronok dengan peluang yang diberikan, aktor itu bagaimanapun menjelaskan cabaran sebenarnya terletak kepada mutu lakonan yang terbaik.

"Tidak ramai pelakon Asia yang berkesempatan beraksi di Hollywood. Jadi, saya perlu berusaha keras sekali gus memberikan sepenuh komitmen agar peluang mengembangkan kerjaya di Hollywood lebih terbuka.

"Selama ini saya mendapat pelbagai maklum balas daripada peminat tentang kerjaya lakonan saya dan kebanyakan lebih gemar saya muncul di kaca televisyen atau di layar perak menerusi drama dan filem Korea," ujarnya.


Malu dengan skandal

Lumrah bergelar anak seni, pasti tidak terlepas daripada terpalit sebarang kontroversi dan gosip panas.

Itu juga yang dialami oleh suami kepada aktres, Lee Ming Jun ini. Byung-Hun terbabit dalam isu ugutan menerusi e-mel oleh penyanyi dan anggota kumpulan Glam, Kim Da Hee dan model, Lee Ji Yeon sehingga memaksanya membuat laporan polis.

Dua wanita berkenaan mengugut mahu menyiarkan gambar tidak senonohnya dan meminta wang tebusan. Bagaimanapun, setelah disiasat, Byung-Hun terlepas daripada tuduhan tersebut dan mendapati dia mangsa bagi salah faham itu.

Malu dengan situasi tersebut, aktor itu tampil meminta maaf di depan umum melalui satu wawancara singkat dengan media di Korea Selatan dan berharap masalah seperti itu tidak lagi berulang.

"Kerana masalah ini, saya tahu ramai yang kecewa. Saya minta maaf. Malah, kerana kebodohan saya juga, banyak masa terbuang begitu saja. Saya sepatutnya mendapat kritikan daripada masyarakat.

"Bahkan, kerana masalah ini, saya juga banyak berhutang dengan keluarga yang terkena kesannya," katanya sambil membongkok di depan kamera seperti yang dilaporkan kepada Nate.

Bukan itu saja, akibat dari skandal itu juga, filem terbaharunya, Memories of The Swords terpaksa ditangguhkan penayangannya di Korea Selatan.

Namun, selepas lebih enam bulan diperam, filem yang menjalani penggambaran pada 2013 itu dikhabarkan bakal ke pawagam Ogos depan.

Selain Byung-Hun, filem yang mengambil latar hidup seorang kesateria pada zaman Dinasti Goryeo itu turut dibintangi Jeon Do-yeon, Junho 2PM dan Kim Go-eun.


Jadi robot penjahat

Terpilih membintangi filem Terminator Genisys, pasti saja ramai peminat setia Byung-Hun menanti-nantikan hasilnya.

Lebih bertuah, Byung-Hun dapat beraksi dengan aktor utama siri Terminator, Arnold Schwarzenegger yang kembali meneruskan wataknya sebagai cyborg selepas berehat seketika di filem keempat, Terminator Salvation (2009) kerana tugasnya sebagai Gabenor California.

Kali ini, filem sains fiksyen ini mengetengahkan aksi Byung-Hun sebagai musuh utama Schwarzenegger (T-800) ekoran menjadi robot penjahat, Cop T-1000.

Lebih mengagumkan, aktor berusia 43 tahun itu turut meninggalkan kesan lakonan yang cukup berkesan dan maksimum setanding dengan aktor, Robert Patrick melalui filem kedua, Terminator: Judgment Day (1991).

Selain Byung-hun dan Schwargenegger, filem arahan Alan Taylor ini turut dibintangi pelakon berbakat besar seperti Jason Clarke, Emilia Clarke, Jai Courtney, J.K. Simmons, Dayo Okeniyi, Matt Smith dan Courtney B. Vance.

Terminator Genisys mengambil situasi tahun 2029 yang mana manusia pada ketika itu dipimpin oleh ketua penentang, John Connor (Jason Clarke) dalam memerangi pasukan robot iaitu Skynet yang ingin menghancurkan kehidupan manusia dari dua sisi, masa lalu dan masa depan.

Bagaimanapun, dalam menghadapi kejayaan, Skynet kembali ke masa lalu iaitu 1984 bagi mencari dan membunuh satu-satunya manusia yang terselamat dari invasi Skynet ketika itu iaitu ibunya, Sarah Connor (Emilia Clarke).

Keadaan itu memaksa John menghantar Kyle Reese (Jai Courtney) ke masa lalu dan membantu menyelamatkan ibunya. Pertembungan itu menyebabkan Reese bertemu dengan cyborg penjaganya (Arnold Schwarnegger) dan dikejar musuh utamanya, Cop T-1000 (Lee Byung-Hun).

Adakah mereka mampu terselamat? Nantikannya di pawagam mulai 2 Julai ini.

Previous Post Next Post