Kaka Azraff: Itu semua fitnah



SEBELUM ini, penyanyi Kaka Azraff telah dilabelkan sebagai perampas ekoran didakwa menjadi 'orang ketiga' dalam keretakan hubungan cinta yang terbina di antara aktres, Tasha Shila dengan kekasih hatinya, Hans Chen Wong.

Baharu saja reda dengan isu terbabit, pelantun lagu Bukan Hal Aku itu dikaitkan sekali lagi sebagai punca kepada penyebaran gambar seorang wanita separuh bogel yang didakwa mirip Tasha.

"Itu adalah fitnah yang sangat besar buat diri saya.

"Lebih baik tanya sendiri pada tuan punya badan dan bukanlah pada saya. Saya ini seorang perempuan dan saya tahu bagaimana perasaannya apabila dianiaya seperti itu.

"Malunya bukanlah sehari dua tetapi seumur hidup. Jadi, saya tak akan sekali-kali buat begitu," tegasnya kepada Zass ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama Uprising Entertainment, baru-baru ini.

Berang dengan tindakan individu yang menyebarkan gambar berkenaan, pelakon berusia 26 tahun itu turut menyifatkan individu terbabit sebagai kejam.


"Saya sebenarnya marah sangat pada si penyebar gambar itu. Individu itu memang jahat dan kejam.

"Saya faham akan keadaan yang dialami, malah saya turut bersimpati atas apa yang terjadi," katanya yang kini lebih berhati-hati dalam berkawan.

Ditanya mengenai status dirinya, akui Kaka dia masih lagi solo dan kehadiran seorang kekasih bukanlah jaminan hidupnya lebih selamat dari kontroversi atau masalah yang tiba.

"Dengan siapa saya berkawan atau berkasih, biarlah ia menjadi cerita peribadi saya.

"Saya lagi suka jika peminat lebih mengenali kerja dan muzik saya berbanding dengan kehidupan peribadi.

"Saya tak suka dengan kontroversi yang membabitkan kepada cerita peribadi lebih-lebih lagi termasuk dalam gosip orang lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, sepanjang Ramadan ini, Kaka terlibat dalam penggambaran drama komedi Plan Cinta Tak Jadi untuk Astro Ria selain terbabit sama sebagai duta Syukur Selalu untuk TV9.

Previous Post Next Post