Elizabeth Tan kawan semua orang



MULA mendapat perhatian menerusi lagu Knock Knock hasil sentuhan magis penyanyi dan komposer terkenal Faizal Tahir, pelantun lagu tersebut, Elizabeth Tan mengakui tempias populariti banyak mengajarnya tentang selok-belok bergelar anak seni.

Mengakui sedikit terkesan dengan pandangan banyak orang di laman sosial terhadap dirinya, anak jati Kuala Lumpur itu tidak mengambil pusing tentang ‘usikan’ nakal terutama tersebarnya khabar angin mengatakan dirinya adalah punca keretakan hubungan penyanyi Adira Suhaimi bersama tunangnya, Shahrul Nasrun.

Sejurus selepas cerita tersebut reda daripada radar hiburan tempatan, muncul pula kisah baharu yang mengatakan dia kini sedang asyik menyulam cinta dengan bekas suami aktres Nabila Huda, Eddie yang juga merupakan ahli kumpulan Tiga Swagger.

Berada di bawah pengurusan yang sama, Paranormal Talents, Elizabeth bagaimanapun menafikan cerita tersebut dan menganggap ia sesuatu yang tidak masuk akal dan lucu. Selain itu dia menjelaskan bahawa hubungan mereka cukup sekadar teman sekerja.

Penyanyi berusia 23 tahun itu juga dengan tenang menyusun kata menjawab setiap persoalan yang dilemparkan.


Artis Meletop!: Hanya dalam tempoh beberapa bulan nama Elizabeth Tan rancak meniti di bibir peminat sehinggakan lagu Knock Knock mendapat tempat di kedudukan teratas dalam carta. Bagaimana penerimaan anda dengan hal ini?

ELIZABETH: Terkejut (ketawa). Saya sendiri berasa seperti tidak percaya apabila lagu itu cepat mendapat perhatian peminat dan pastinya perkara yang sama turut dirasai oleh Faizal Tahir selaku komposer.

Melihat kepada impak populariti bergelar anak seni, adakah ia sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan anda sekarang?

Disebabkan perkembangan kerjaya berlaku begitu pantas, saya akui sedikit sebanyak beberapa hal dalam kehidupan berubah. Saya menjadi seorang yang lebih prihatin dalam setiap apa yang dilakukan demi menjaga hati banyak pihak.

Maklumlah, apabila ‘menyerah’ diri dalam bidang seni, segalanya akan mendapat perhatian umum. Pada awalnya berlaku sedikit kejutan budaya, namun perlahan-lahan hal itu dapat diatasi dengan mendapat sokongan keluarga, pihak pengurusan dan peminat. Biarpun adakalanya sedikit tertekan tetapi ia masih boleh diterima.

Sepanjang tempoh bergelar penyanyi, apakah yang membuatkan anda berasa tertekan?

Kerjaya nyanyian ini seronok tetapi ia sedikit terganggu apabila membaca kritikan ‘pedas’ yang diberikan orang terutama di laman sosial. Bagaimanapun, itu bukan bermaksud saya tidak boleh menerima kritikan, namun sebagai pendatang baharu pastinya perkara itu akan menyentuh emosi. Bagaimanapun, saya tetap menerima segala kritikan, tidak kira positif mahupun negatif.

Kritikan yang bagaimanakah membuatkan anda berasa tersinggung dengan peminat?

Sebenarnya, bukan tersinggung tetapi disebabkan saya bukan jenis individu yang mempunyai kekuatan mental dalam menangani segala isu, hal itu mula mendatangkan sedikit tekanan. Saya sering membaca komen peminat, terutamanya di Instagram. Ada yang mengatakan saya gemuk dan tidak dapat menyanyi secara langsung di atas pentas. Pada awalnya saya mengakui berasa tertekan sehingga mengambil masa selama dua sehingga tiga hari untuk belajar menerima kritikan. Namun, segalanya kini cuba saya tangani dengan baik dan profesional. Perkara paling mengejutkan setakat ini ialah apabila timbul cerita mengatakan saya punca pertunangan Adira putus. Jelas perkara itu tidak benar dan saya enggan memberi sebarang komen lagi mengenai isu tersebut. Belum reda isu tersebut, wujud pula cerita baharu yang mengatakan saya menjalin hubungan dengan Eddie. Itu juga tidak benar.

Menurut anda, mengapakah perkara seperti itu berlaku?

Saya sendiri tidak faham (ketawa). Perkara itu berlaku secara tiba-tiba dan ia agak mengejutkan terutama apabila orang mengaitkan saya dan Eddie. Sejujurnya, dia hanya rakan sekerja, tidak wujud sebarang hubungan istimewa antara kami.

Tambahan, kami hanya bertemu beberapa kali serta tidak mempunyai nombor telefon masing-masing. Saya akui terkejut dan kelakar apabila membaca artikel mengatakan kami sedang bercinta.

Adakah anda rimas atau tertekan apabila sudah mula dihimpit kisah berkaitan dengan beberapa lelaki?

Saya terkejut tetapi perlu menanganinya dengan positif. Saya tahu jika kata tidak atau sebaliknya, akan ada orang yang beranggapan saya tidak telus mengenai hubungan dengan seseorang lelaki. Jadi buat masa ini, saya hanya berkawan dengan semua orang dan bersikap baik kepada orang di sekeliling.

Beralih kepada soal kerjaya, apakah perkembangan anda sekarang?

Sepanjang Jun lalu saya tidak mengambil sebarang tawaran kerana membuat keputusan untuk berehat selepas beberapa bulan bekerja tanpa henti. Pada 15 Ogos ini, saya akan terlibat dalam satu persembahan iaitu Konsert Raya yang berlangsung di Oasis Plaza, Damansara, Selangor.

Sekitar September depan pula, saya akan berangkat ke United Kingdom selama dua minggu untuk membuat persembahan perasmian cawangan hotel milik YTL Corporation Berhad. Pada masa yang sama saya kini giat mempromosikan single kedua berjudul Setia duet bersama Faizal Tahir selain menjadi duta produk kepada Thermos dan Zarra Sinar Puteri.

Previous Post Next Post