Izreen Azminda Kita perempuan bukan kebal mana pun


Izreen Azminda sedang bercakap tanpa henti pada pertemuan bersama Sensasi Bintang petang itu.

Banyak perkara dikongsikan ibu kepada seorang anak lelaki, Muhammad Adrian Umar, 2, termasuk raya keduanya tanpa suami, namun dalam kebanyakan bicara kami, ia diakhiri dengan ketawa besar.

Adakah tawa bahagia atau sekadar menutup jendela hatinya sendiri, hanya Izreen yang tahu.

Biarpun kini dirinya kembali ceria dan mampu tersenyum lega, namun wanita tabah itu pernah tewas menahan air mata yang gugur membasahi pipi.

“Kita perempuan bukan kebal mana pun. Kadang-kadang nak kata kuat pun tidak juga, tetapi kita tidak perlu tunjuk satu Malaysia. Ada ketikanya saya lepaskan rasa beban itu dengan bercakap pada mak atau kawan baik. Ketika luah memanglah kita akan menangis tetapi tidak selalu,” ujarnya pelakon drama Kerana Terpaksa Aku Relakan itu.

Lantas, perasaan remuk-redam itu dibuang pelakon tersebut jauh-jauh.

Apa yang ada kini seorang wanita tabah dan lali dengan tohmahan dan kata-kata nista orang terhadapnya.

“Saya sudah lali beraya tanpa suami. Bukan sahaja raya tanpa suami, tetapi apa sahaja kata-kata atau gosip-gosip yang datang saya sudah lali. Ibarat diri ini disuntik ubat kebas untuk saya bertahan dan tidak lagi berasa apa-apa.

“Saya tetap teruskan hidup macam biasa dan sangat gembira dengan kehidupan sekarang. Orang tidak tahu kehidupan kita macam mana, jadi saya anggap tak apalah. Mulut orang kita tidak boleh tutup,” luahnya sedikit optimis.


Tiga pasang

Tidak sukar menjayakan sesi fotografi Izreen dengan anaknya pada petang itu. Muhammad Adrian yang dipanggil Ian itu sentiasa memberikan kerjasama yang baik biarpun cuaca di Taman Tasik Permasuri, Cheras, Kuala Lumpur ketika itu panas.


Izreen menyediakan tiga pasang baju raya buat Adrian termasuk jubah dan baju Melayu.

Diagah-agah dan menyebut namanya, mudah sahaja matanya memandang kamera lalu melemparkan sedikit senyuman.

Permata comel milik Izreen itu kini menginjak usia dua tahun sejak 13 Julai lalu.

“Saya tidak dapat buat sambutan hari jadi Ian pada 13 Julai lalu, jadi saya merancang untuk buat sambutan hari jadi dia pada hari raya ini.

“Memang raya pada tahun ini tumpuan ke arah anak. Baju raya dia pun saya beli dalam tiga pasang. Ada jubah dan baju Melayu. Belum lagi masuk bapa dia belikan.

“Ini tahun kedua saya raya tanpa suami. Hanya beraya bersama anak, keluarga dan kawan-kawan,” luah Izreen yang beraya di Jitra, Kedah dan menggemari daging masak hitam itu.

Anak masuk bidang seni

Rupa-rupanya ramai yang mendesak Izreen untuk memasukkan anaknya dalam bidang pengiklanan atau lakonan.

Sebaliknya, dia mengambil pendekatan untuk menolak semua permintaan tersebut kerana memikirkan anak yang masih kecil dan memerlukan kasih sayang serta rehat yang mencukupi itu.

“Saya tidak akan membenarkan dia (Ian) masuk bidang seni. Tidak tahu apabila sudah besar nanti, dia memilih bidang ini. Untuk saya bawa dia masuk dalam industri buat masa sekarang ini memang jawapannya tidak.

“Biarlah dia besar dulu. Dia pun tidak faham dan tidak biasa dengan keadaan dalam industri seni. Biar dia cukup rehat dan makan di rumah. Sebab kita tahu macam mana susahnya bekerja dalam bidang ini.

“Kadang-kadang tengok kanak-kanak berlakon berpeluh-peluh dan panas. Kadang-kadang nak kena bogelkan atau kena paksa kanak-kanak menangis demi tuntutan watak. Saya tidak mahu benda itu terjadi pada anak saya,” jelas Izreen yang wajahnya banyak menghiasi telemovie raya tahun ini seperti Homestay Raya, Laki Aku Drakula dan Bukan Wanita Sempurna.

Anak emas

Sedar wajahnya kerap menghiasi drama dan telemovie di TV3 dan TV9, akui Izreen, dia takut orang akan jemu menontonnya, namun pada masa yang sama dia bersyukur kerana rezeki melimpah ruah yang diterimanya.


Izreen menolak untuk membawa anaknya, Muhammad Adrian Umar ke lapangan seni.

Ditebak adakah dia anak emas stesen berkenaan, Izreen segera menepis anggapan tersebut.

“Saya bukan anak emas. Saya anggap ini rezeki anak dan rezeki saya selepas berhijab.

“Mungkin saya kerap ditawarkan banyak drama dan telemovie kerana penonton suka dengan karakter yang saya bawakan,” ujarnya dengan nada syukur.

Menyentuh soal hati, kata Izreen buat masa sekarang hatinya belum terbuka untuk bercinta.

Bukan serik, dedah Izreen, dia terlalu bahagia dengan kehidupan solonya bersama anak dan enggan lagi terikat dengan komitmen berumah tangga.

“Memang ada yang cuba mendekati. Sejujurnya saya tidak berminat buat masa sekarang. Hati belum terbuka ke arah itu.

“Tidak tahulah akan datang. Saya seronok dan bahagia dengan kerja-kerja yang dilakukan sekarang. Komitmen kerja saya sebagai pelakon akan memberikan pandangan bukan-bukan kepada lelaki yang tidak memahami kerjaya ini,” ujarnya seraya menutup perbualan.

Previous Post Next Post