Liyana Jasmay teruja dapat anak kedua


KELUARGA BAHAGIA, Liyana bersama suami, Fathudin dan anaknya, Sofia Arissa.

TIADA apa yang lebih menggembirakan pelakon Liyana Jasmay apabila menyedari dirinya sedang hamil anak kedua. Kandungan isteri kepada ahli perniagaan, Fathudin Mazlan, 31, itu kini mencecah usia empat bulan.

Menurut Liyana, 27, yang juga ibu kepada Sofia Arissa, setahun tiga bulan, dia sememangnya merancang ingin menambah bilangan anak sebelum mencecah usia 30 tahun.

Meskipun jarak kehamilan kedua dengan anak pertamanya agak rapat, perkara tersebut bukanlah satu masalah kerana sememangnya Liyana dan suaminya merancang ingin menambah anak dalam waktu terdekat.

Tambah manis, kehamilan keduanya lebih mudah dan Liyana juga aktif bekerja seperti biasa berbanding ketika mengandungkan anak pertama. Liyana bagaimanapun enggan mendedahkan jantina anak kedua itu kepada umum sehingga dia selamat melahirkan anaknya sekitar bulan Februari tahun depan.


Artis Meletop!: Bagaimanakah keadaan kesihatan Liyana sejak hamil anak kedua?

LIYANA JASMAY: Alhamdulillah, sejak dapat tahu hamil sehingga hari ini, kesihatan saya baik sahaja. Cuma seperti ibu hamil yang lain, saya mengalami alahan pada waktu pagi tetapi keadaannya tidak seteruk ketika mengandung anak pertama dulu. Ketika mengandungkan Sofia, alahan saya cukup teruk sehingga membataskan pergerakan dan hanya terperap di rumah sahaja. Sebaliknya, untuk kehamilan anak kedua ini nampaknya semua lebih mudah dan tidak terlalu rumit.

Apakah anda memang merancang ingin menambah anak segera memandangkan jarak usia anak pertama dan kedua agak rapat?

Kami tidak merancang, cuma saya memang ingin tambah anak sebanyak mungkin sebelum usia 30 tahun. Selepas usia 30 tahun, saya akan berfikir banyak kali untuk mengandung semula. Jarak usia yang rapat rasanya bukan satu masalah kerana bagi saya lebih mudah besarkan anak kecil sekali gus.

Adakah anda mengidam sebarang makanan sejak hamil kali kedua?

Sebenarnya saya lebih mengambil makanan yang seimbang dan suka memakan sayur. Kalau ditanya makanan kesukaan, saya memang suka makanan segera. Namun, sejak tahu hamil, saya ajar diri agar tidak mengambil makanan seumpama itu.

Bagaimana pula penerimaan Sofia apabila anda hamil?

Rasanya Sofia masih terlalu kecil untuk memahami yang dia bakal menjadi kakak. Sebenarnya saya tidak terlalu risau kerana Sofia lebih rapat dengan bapanya berbanding saya. Dia hanya akan manja dengan saya jika bapanya tiada. Jadi, lebih mudah untuk saya fokus kepada adiknya selepas ini, manakala suami pula akan lebih menjaga Sofia. Kami akan memastikan Sofia tidak terasa diabaikan apabila adiknya lahir.

Setakat ini apakah persediaan untuk menyambut anak kedua yang anda lakukan?

Saya belum membuat sebarang persiapan kerana masih terlalu awal. Buat masa ini, saya masih belum tahu jantina anak dalam kandungan, selepas mengetahuinya baru saya akan mula membeli barang.

Adakah anda akan mengumumkan jantina anak kedua selepas mengetahuinya kelak?

Saya akan menyimpan rahsia jantina anak kedua sehingga dia selamat dilahirkan. Sebenarnya saya tidak mempunyai sebarang sebab cuma perkara ini terlalu peribadi. Biarlah saya simpan sedikit privasi untuk diri sendiri dan keluarga.

Apakah perkembangan terbaharu kerjaya anda?

Selain sibuk berulang-alik antara Sabah dan Kuala Lumpur atas tuntutan keluarga, syarikat produksi saya, Mermaid Studio baru selesai menjalani penggambaran filem pertama berjudul Bella & Jamie. Selain itu, saya juga sibuk dengan persiapan perniagaan terbaharu iaitu Mermaid Concept Store yang bakal dibuka tidak lama lagi di Star Parc Point di Setapak, Kuala Lumpur. Selebihnya, saya hanya berehat dan menghadiri acara hiburan. Tawaran lakonan memang ditolak buat masa terdekat sehinggalah saya selesai berpantang pada tahun depan.

Previous Post Next Post