Pilihan Rita Rudaini



RITA membawa watak Nina dalam salah satu sedutan babak filem Love, Supermoon yang bakal ditayangkan pada 22 Oktober depan.

MENGIMBAU kejayaan filem Mami Jarum, naskhah arahan Prof. Madya Datuk A. Razak Mohaideen pasti mengikatkan semula kehebatan karakter lakonan Rita Rudaini.

Wanita kelahiran Kangar, Perlis itu tidak hanya mampu membawakan watak komedi. Bakat besarnya terserlah dalam setiap karya dengan pelbagai peranan.

Biarpun hampir 20 tahun bergelar anak seni, ibu kepada dua cahaya mata itu tidak meletakkan statusnya sebagai pelakon senior, dia perlu membawa watak utama.

Tidak memperlekehkan peranan watak pembantu, Rita yakin kehebatan pelakon menzahirkan watak pasti tidak mungkin akan dilupakan peminat. Sebaliknya, watak pembantu turut memainkan peranan penting dan dijadikan ‘ramuan tambahan’ untuk menjadikan plot penceritaan lebih menarik dan penuh dengan drama.

“Saya tidak pernah menjadikan status sebagai pelakon senior untuk dijadikan tiket memegang watak utama. Segalanya bergantung kepada kredibiliti artis itu sendiri.

“Sekiranya peranan yang ditawarkan kecil namun berbeza daripada apa yang pernah dilakukan sebelum ini, saya akan terima kerana paling penting ia meninggalkan kesan mendalam kepada penonton,” jelas pelakon berusia 39 tahun optimis.

Persoalan tersebut dilemparkan kepada pelakon tinggi lampai itu sementelah wajahnya muncul dalam naskhah terbaharu berjudul Love, Supermoon dengan membawa watak pelakon pembantu.


Eratkan hubungan

Menepis stigma pelakon senior tidak layak membawa peranan pembantu, Rita sebaliknya mementingkan kekuatan portfolio. Berkebolehan membawa pelbagai watak, dia memperjudikan nasib dalam demi mencari kepuasan berkarya.

“Saya memilih untuk berlakon dalam filem tersebut kerana watak yang ditawarkan lebih ringan dan santai. Tidak terlalu berat seperti pernah dibawa sebelum ini. Tambahan skrip filem tersebut turut menarik minat selain peluang bekerja dengan pengarah baharu iaitu Wan Hasliza Wan Zainudin,” jelasnya yang membawakan karakter Nina dalam filem tersebut.

Sementara itu bercakap mengenai sambutan Hari Raya Aidiladha, Rita teruja berkongsi cerita menyambut perayaan tersebut bersama ahli keluarga di kediaman abangnya, di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Meskipun segala persiapan dilakukan pada saat akhir, Rita memberitahu pada awalnya dia ingin meraikan Aidiladha di ibu kota namun, peluang keemasan bersama keluarga pasti tidak akan dilepaskan.

Berbeza dengan rutinnya sebelum ini, setiap kali meraikan Aidiladha, Rita pasti menjadikan kampung halaman, Kampung Utan Aji, Kangar, Perlis sebagai lokasi utama.

“Pada awalnya saya ingin kesemua keluarga beraya di Kuala Lumpur tetapi disebabkan abang yang bertugas sebagai pegawai Kastam terpaksa bekerja pada hari raya, jadi kami sekeluarga tekad menyambut Aidiladha di Kedah,” kata pelakon filem Balistik itu.

Selesa menyambut secara sederhana, Rita mengakui dirinya tidak berbelanja besar untuk meraikan Aidiladha dengan mengeratkan hubungan bersama keluarga.

Seperti kebiasaan, Rita hanya akan memakai baju kurung sepanjang Hari Raya Aidiladha sementara kedua-dua cahaya matanya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Rafqa Arjuna mengenakan jubah.

Melakukan aktiviti seperti lebaran, Rita bersama ahli keluarga lain menyediakan juadah seperti nasi mandi, daging masak merah, ketupat, kuah kacang dan gulai daging pada pagi Aidiladha sebelum mengerjakan solat sunat.

Sangat menitikberatkan hubungan kekeluargaan, Rita ingin kedua-dua anak lelakinya itu saling mengenali antara satu sama lain dengan saudara-mara.

“Bagi saya setiap kali sambutan raya puasa atau raya korban adalah peluang untuk kira mengeratkan hubungan sesama umat Islam dan saudara masa serta keluarga,” jelasnya sambil tersenyum.

Previous Post Next Post