Cecah 45 Tahun, URTV Masih Relevan Tidak Akan Ditutup


Ziana Zain menurunkan tanda tangan pada salah satu muka depan URTV yang menampilkan wajahnya suatu ketika dahulu.

Majalah hiburan tertua di negara ini iaitu URTV masih relevan dan tidak akan ditutup penerbitannya buat masa ini walaupun industri pernerbitan akhbar dan majalah menunjukkan penurunan.

Pengarang URTV iaitu Nor Asikin Hassan berkata, pada usia majalah berkenaan yang sudah mencecah 45 tahun, URTV sudah mempunyai pengaruh di kalangan pembaca dan wajar dikekalkan agar ia boleh menjadi rujukan kepada generasi baharu.

"Setakat ini penerbitan URTV akan terus kekal walaupun jumlah edarannya tidak memberangsangkan kerana persaingan media digital yang semakin pesat,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis ulang tahun ke 45 majalah berkenaan di Saloma Bistro, Jalan Ampang di sini pada Ahad.

Antara artis yang membuat persembahan ialah Aishah, Salamiah Hassan, Rohana Jalil, Nassier Wahab, Datuk Khatijah Ibrahim, Amar Baharin & Amyra Rosli, Hazami dan Ezad Lazim.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Noordin Abbas, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak, Ketua Pengarang Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB), Badrul Azhar Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Operasi UKSB, Azlan Aziz.



Dari kiri Nor Asikin Hassan, Azlan Aziz, Badrul Azhar, Mohd Noordin, wartawan Huzz, Aziz Ishak dan wartawan Rosli Manah.
Selain URTV, majalah hiburan yang pernah diterbitkan syarikat media itu ialah Hai dan Mangga namun kedua-duanya sudah ditamatkan penerbitan.

Sebelum ini Berita Publishing Sdn Bhd yang terkenal dengan penerbitan majalah telah menutup operasi syarikat atas sebab penurunan jumlah penjualan majalah.

Dalam pada itu Nor Asikin berkata, URTV yang sebelum ini diterbitkan dua minggu sekali ditukar kepada sebulan sekali atas faktor kos.

Namun, isi kandungan majalah itu tetap serupa dengan pelbagai penambahbaikan bagi memenuhi kehendak pembaca ketika ini.

URTV atau singakatan Utusan Radio & Televisyen mula diterbitkan pada 15 Januari 1970 yang menampilkan seniwati Datuk Sarimah Ahmad sebagai penghias muka depannya.


Ogy Ahmad Daud (kiri) menrunkan tanda tangan pada artikel mengenai dirinya sambil diperhatikan Pengarang URTV, Nor Asikin Hassan.
Pada ketika itu ia dijual dengan harga 30 sen.

Kini majalah berkenaan dijual dengan harga RM5 senaskhah.

Sepanjang 45 tahun tempoh penerbitan, antara pengarang yang menerajui majalah itu ialah S. Hashim (1970), Nor Shah Thamby (1980), Bahyah Mahmud (1990), Fatimah Hassan (1997), Rosli Manah (2003), Huzz (2008) dan Nor Asikin Hassan (2014 sehingga sekarang).

Previous Post Next Post